Sabtu, 29 November 2008

Kisah Bidong 19

Cerita yang dipaparkan ini merupakan e-mail yang dikirim oleh seorang lelaki Vietnam dari Belgium. Beliau pernah menetap di Kem Pelarian Galang Indonesia pada zaman remajanya. Mail ini diterima pada bulan Mei 2002.

Saya berumur tujuh tahun sewaktu meninggalkan Vietnam bersama emak saya, kakak saya dan seorang kawan emak. Kami bertolak pada waktu malam dalam tahun 1988. Jumlah kami seramai 49 orang menumpang sebuah bot yang kecil. Kami belayar selama lapan hari dan kehabisan makanan. Kami bernasib baik kerana kami bertemu dengan bot lain yang memberikan kami sedikit makanan dan air. Kami juga pernah dilanda ribut pada satu malam.
Setelah lapan hari berlayar kami mendarat di sebuah pulau yang dihuni oleh pasukan tentera. Kanak-kanak dan wanita dibenar menginap di dalam khemah mereka tetapi kaum lelaki dikehendaki berada di luar khemah. Kaum wanita disuruh memasak untuk kami dan mereka makan bersama-sama.Kami selalu tidak cukup makanan. Emak saya selalu makan nasi basi yang dibasuh dengan air laut supaya hilang rasa masamnya. Nasi yang baik diberikan kepada saya dan kakak. Selepas dua hari seorang perempuan iaitu ibu tekong bot meninggal.
Kemudian pasukan tentera di situ ingin menghantar kami ke laut. Kami merayu agar kami tidak dihantar ke laut. Setiap kanak-kanak dan wanita berlutut dan ada yang sanggup mencium kasut tentera di situ. Mereka meminta wang agar bot kami boleh dibaiki. Setelah kami mengumpulkan perhiasan dan menyerahkan kepada mereka, mereka memberi semula perkakasan bot yang mereka telah ambil. Kemudian menunda bot itu ke laut. Pada malam itu kami berfikir tentera itu akan mengambil wanita-wanita kami lalu kami memotong tali bot. Bot kami hanyut ke pulau lain. Seorang lelaki putus kaki akibat tersepit antara bot dan batu sewaktu menarik bot. Pulau itu merupakan pulau yang tidak berpenghuni tetapi terdapat beberapa pondok kecil. Keesokan hari bot kami pecah akibat hempasan ombak dan terkena pada batu.
Kami makan apa sahaja yang kami temui, kami menjumpai telur penyu yang sungguh lazat terutama jika kita lapar. Selepas tiga hari tentera datang lagi mengambil kami ke kem mereka kemudian menghantar kami ke Kem Pelarian Galang. Indonesia. Apa yang tidak kami ketahui ialah Ibu kami sedang mengandung, tidak berapa lama kami di Galang , Ibu kami melahirkan seorang lagi ahli keluarga kami adik perempuan yang diberi nama Sha. Selepas setahun kawan ibu saya diterima oleh kerajaan Kanada. Keluarga kami tinggal di Galang selama dua tahun. Saya mengingati hampir segalanya , setiap jalan dan bangunan. Di galang terdapat kedai runcit , pub, disco, dua panggung wayang, sebuah Gereja Maria, dua tokong Buddha, sebuah hospital, sekolah dan pejabat pos.
Setiap dua minggu kami dibekalkan dengan beras, sardin, minyak masak dan garam. Pada masa yang sama juga datuk saya di Belgium ada juga mengirimkan wang, kami juga menanam sayur-sayuran. Kami tidaklah mewah tetapi kami tetap gembira. Kami saling bantu membantu. Setiap sabtu kami bergotong royong membersihkan kem dan tempat tidur kami sendiri. Hanya hari Ahad kami dibenarkan pergi ke pantai yang terletak dua kilometer dari kem.
Saya selalu ponteng sekolah dan merayau-rayau di sekeliling pulau. Inilah satu faktor mengapa saya mengingati segenap ceruk pulau ini. Kami masih mengamalkan beberapa tradisi kami di sini sebagai contoh Tahun Baru disambut dengan bunga api di vietnm tetapi kami di sini membuat unggun api dan membuat bising dengan tin, periuk, kuali dan apa sahaja yang boleh menghasilkan bunyi.
Di kawasan kami di Galang , emak saya merupakan orang yang sangat dihormati. Setiap remaja disini memanggil ibu saya “emak”. Jika mereka hendakkan sesuatu mereka minta dengan emak saya. Emak saya pernah memberikan kepada mereka wang untuk mereka pergi ke pub untuk minum. Sebenarnya banyak kenangan manis sewaktu kami di Galang.
Selepas dua tahun kami di terima ke Perancis. Mula-mula kami ke Singapura dan tinggal selama seminggu sebelum kami terbang ke Pertancis. Singapura bandar yang sangat cantik.
Kami tinggal di kem pelarian Perancis selama tiga minggu sebelum menaiki kereta ke rumah datuk saya di Belgium. Perjalanan saya dari Vietnam ke Belgium memberikan saya pengalaman yang sungguh hebat dan tak mungkin dilupakan.
Pengalaman di Galang sangat mengujakan saya. Saya sangat berharap satu masa nanti saya akan menjejakkan kaki saya di Galang biarpun buat seketika. Terdapat banyak cerita sedih dari kawan-kawan yang lain. Saya mendapat tahu akhirnya pelarian di Galang akhirnya dihantar semula ke Vietnam. Dan Galang kini sudah menjadi satu kawasan industri, saya sangat mengharap satu hari nanti saya akan dapat bercuti ke sana.
Tulus Ikhlas daripada saya,
Thien.

Tiada ulasan: