Isnin, 7 Mac 2011

Belajar Basikal

Ayah aku ada sebuah basikal , basikal standard pada masa itu. Bukan basikal tua yang tinggi , basikal biasa tetapi ada palang, juga di sebut basikal batang.Aku mula mempelajarinya ketika berusia enam tahun. Sewaktu menaikinya aku kenalah melengkokkan badan kerana terhalang oleh palang atau "batang" basikal tersebut.Oleh kerana aku terlalu kecil berbanding dengan basikal ayah aku ambik keputusan memegang handle dengan sebelah tangan kiri sahaja, manakala tangan kanan digunakan untuk memegang tempat duduk, lebih tepat lagi aku mengepit tempat duduk basikal tersebut di celah ketiak. Rasanya di kalangan rakan sebaya yang belajar dan naik basikal pada masa itu akulah satu-satunya kanak-kanak yang menunggang basikal dengan cara begitu yang nampak begitu unik dan kadang-kadang macam menyiksakan. Satu kali aku dan kakak diminta oleh ayah untuk membawa pulang basikal dari Kampung Gemuruh. Pada mulanya kakak yang menunggang basikal berkenaan manakala aku membonceng basikal ayah. Tetapi aku meminta agar aku yang membawa basikal berkenaan sehinggalah kakak mengalah. Jalan pada masa itu merupakan jalan tanah merah dan melalui beberapa buah bukit yang tinggi termasuklah "Bukit Cangkul Pingat". Apabila menuruni bukit yang paling hampir dengan kampung aku, (Bukit Haji Weil) aku gagal mengacip brek dengan sebelah tangan, basikal meluncur dengan sangat laju sehingga aku jatuh berguling-guling di atas jalan. Tangan aku meloloh dan meninggalkan parut sehingga ke hari ini.

Sabtu, 5 Mac 2011

Renungan

Berdiri biarlah kita menjadi tiang
berbaring biarlah kita menjadi jambatan
jika di lubuk kita adalah haruan
jika di udara kita adalah helang
kalau di langit kita menjadi bintang
kalu di bumi kita menjadi intan

Jumaat, 4 Mac 2011

Mandi - Manda

Keindahan di masa kecil yang sukar diulangi pada zaman dewasa ialah berkubang di dalam parit atau lubuk. Terdapat beberapa lubuk atau tempat yang popular , antaranya Bedah, Binjai, Gertak Kempas Pancur Kempas dan lain-lain. Masa yang sesuai untuk berkubang ialah pada masa tengahari selepas bermain-main atau ketika emak dan ayah bekerja di sawah. Semasa mandi manda macam-macam skil ditunjukkan seperti berenang hanyut labu, kuak lentang, terjun kepala dulu dan lain-lain lagi. Ada juga masanya kami bermain menyelam paling lama , ataupun main kejar-kejar dalam air. Dulu ada sekali semasa pulang dari sekolah aku dan sepupu berendam dulu dalam Pancur Kempas, berendam tanpa apa-apa pakaian.Tiba-tiba muncul lah seorang polis arah kami suruh naik dan balik. Entah dia pakai undang-undang mana pun dia pakai aku tak tahu. Kami kepanasan masa tu balik sekolah jalan kaki , apa lagi berendamlah kami. Tapi bila polis panggil apa lagi ketakutan yang amat sangat dan tidak terhingga lah kami. Masa tu air pancur pun jernih dan dalam sikit paras buku lali je. Lepas peristiwa tu kami cuti mandi seminggu lepas tu mandi lagi. Peristiwa yang paling menggerunkan ialah bila kami bertanding menunjukkan kemahiran terjun di dalam lubuk "Gertok Kempas" ketika musim bah yang airnya hampir separas jambatan dan dalam arus yang sangat deras. Apabila kami terjun kami dihanyutkan jauh ke bawah , ke dalam perdu mengkuang dan hampir lemas kerana tidak mampu berenang melawan arus. Nasib masih menyebelahi kami apabila akhirnya kami dihanyutkan ke tepi tebing.

Rabu, 2 Mac 2011

Permainan

Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang penuh dengan impian dan kegembiraan walaupun sesetengahnya tidak berpeluang menikmatinya disebabkan faktor kemiskinan dan kesusahan keluarga ataupun kanak-kanak itu sendiri ditimpa penyakit ketika masih kecil lagi. bagi aku bolehlahlah dianggap sama dengan kanak-kanak lain yang hidup dalam sebuah kampung kecil yang serba kekurangan. Tapi kenangan masa kecil tetap indah. Permainan masa kecil dulu bermula main masak-masak, main pondok-pondok, main keluarga mak ayah dan sebagainya dan juga main jual-jual, daun kayu dijadikan duit, tempurung dan pinggang mangkuk yang buruk dijadikan pinggan mangkuk dan periuk belanga. Tempat permainan juga biasanya di bawah rumah atau sekitarnya.Biasanya permainan begini akan bersambung keesokan harinya. Selain itu ada lagi permainan lain seperti "nussuk kain", "Tol Wak", Tol Duduk, Tol Nussuk, Main Zero Point (lompat getah), lompat tali,main getah (setik getah atas para), main pusing pitih tahan getah atau gambar dan lain-lain lagi.Ada lagi permainan yang agak menarik juga dimana budak-budak yang lebih besar membina lori, kereta atau buldozer daripada kayu, pelepah sagu dan juga daripada tin atau bekas plastik.Ada seorang sahabat yang lebih muda setahun daripada aku yang suka bermain rim basikal dimana dia menggunakan sebatang kayu untuk menolak rim berkenaan kemana sahaja dia pergi. Lama juga dia bersama rim dan kayunya , kalau tak silap lebih dari satu tahun.