Rabu, 28 Januari 2009

Kisah Bidong 23

Trauma Akibat Perang Vietnam
Bayangkan diri anda berada didalam sebuah bot kecil yang terumbang ambing berada di Lautan Pasifik tanpa mengetahui arah dan tujuan. Tidak juga mengetahui nasib orang-orang disayangi yang ditinggalkan di daratan. Tidak juga mengetahui juga nasib diri untuk hari esoknya samada masih mampu bernafas atau tidak. Perut pula menyanyikan lagu keroncong untuk meminta walaupun secebis makanan kerana telah tiga hari tidak makan. Apa yang tinggal hanyalah air laut yang terhampar tanpa penghujungnya. Apa yang termampu hanyalah terbaring kaku tanpa sepatah kata di lantai bot dalam keadaan berhimpit-himpit. Apa yang bermain di fikiran ialah, Adakah kami akan selamat ?, Bilakah aku akan sampai di Kem Pelarian ?, Minta-minta ribut tidak akan datang ?? Apakah lanun akan menghalang perjalanan ??? Dan bermacam-macam halangan dan cabaran yang akan dihadapi oleh orang-orang pelarian Vietnam.
Hari ini saya ingin membawa anda meninjau kembali apa yang telah terjadi kepada Vietnam semejak tahun 1950an hinggalah tahun 1980an. Walaupun saya bukanlah seorang veteran perang Amerika atau Australia yang menceritakan semula kenangan beliau dan saya bukanlah sebuah TV yang yang mampu menceritakan pelbagai fakta kepada anda. Saya cuba memaparkan beberapa perkara yang mungkin anda belum pernah dengari sebelum ini. Saya cuba membawa anda supaya anda dapat merasai diri anda sebagai orang-orang pelarian Vietnam Selatan. Banyak cerita-cerita yang telah mula dilupakan sedangkan ianya telah mencoret satu sejarah hitam dalam buku sejara Vietnam dan sejarah dunia juga.
Perang Vietnam ialah satu konflik yang berlaku dari tahun 1950an hingga tahun 1975 memakan masa melebihi 25 tahun. Perang ini berlaku antara dua pihak iaitu Vietnan Utara, Vietcong, Rusia dan China menentang satu lagi pihak iaitu Vietnam Selatan, Amerika, Australia dan beberapa negara lagi. Vietnam Selatan menjadi medan pertempuran. Itulah sebabnya mengapa terlalu ramai orang-orang Vietnam menjadi pelarian. Persoalannya mengapakah mereka melarikan diri ?
Pada 30 April 1975 pasukan komunis Vietnam Utara telah telah berjaya menakluki Saigon dan memenangi peperangan ini. Hampir dua juta penduduk Vietnam Selatan terbunuh manakala jumlah tentera Amerika dan Australia yang menemui ajal ialah 58 ribu dan 504 orang. Jumlah bom yang digugurkan ialah tiga kali ganda daripada perang dunia ke dua. Inilah sebabnya mengapa orang-orang Vietnam mula melarikan diri. Mereka menjadi sangat takut. Tentera Komunis Vietnam Utara akan menangkap pegawai dan kakitangan kerajaan terdahulu serta bekas–bekas tentera lalu dipenjarakan atau ditahan di kem-kem pemulihan (Re education Camp). Orang-orang Vietnam percaya mereka melarikan diri untuk menyelamatkan masa depan keluarga mereka.
Bagaimanakah mereka melarikan diri ?. Proses untuk menyelamatkan diri mengambil masa yang lama , kadang-kadang sehingga dua tahun. Mereka terpaksa menjual segala harta benda untuk mendapatkan wang bagi membiayai perjalanan. Rata-rata bot mereka berukuran 3 meter hingga 10 meter yang dibuat daripada kayu. Bot yang mampu memuatkan 20 hingga 30 orang ini biasanya akan membawa lebih 100 orang. Mereka datang dalam kumpulan-kumpulan kecil 3 hingga lima orang kemudian bersembunyi bersama kumpulan lebih besar sementara menunggu malam untuk mengelakkan daripada ditangkap atau ditembak oleh pasukan Vietkong. Setelah berjaya menaiki bot maka bermulalah satu episod baru dalam hidup mereka. Banyak sekali pelayaran mereka ini mengalami pengalaman yang sangat menggerikan. Mereka berada dalam keadaan berasak-asak seperti ikan sardin. Hampir setiap orang akan mabuk laut dan kemudiannya muntah. Dimanakah mereka akan buang muntah mereka?. Dimanakah tandas mereka ?. Mereka juga tidak terlepas daripada ancaman lanun yang kerap kali menghampiri bot mereka serta menyelongkar dan merampas barangan beharga yang dibaw., kaum wanita dirogol, diculik, serta dijual ke rumah-rumah pelacuran. Setengahnya pula ditinggalkan di pulau-pulau yang tidak ada apa-apa sehinggalah mereka diselamatkan atau mati.
Sebahagian bot pelarian Vietnam ini pula dilanda ribut menyebabkan mereka karam. Sebahagian lagi kehabisan makanan atau hanyut tanpa arah hingga berbulan-bulan menyebabkan mereka mati kebuluran. Bagi yang bernasib baik mereka diselamatkan oleh kapal-kapal yang lalu lalang atau tiba di kem Pelarian dengan selamatnya. Satu juta orang-orang Vietnam menjadi pelarian, sebahagiannya bersemadi di dasar laut manakala yang lain bertebaran di seluruh dunia seperti Australia, Amerika Syarikat dan sebagainya.
Apakah pula nasib mereka yang masih tinggal di Vietnam ?,. Tentera yang dikeluarkan dari hospital akan dipenjarakan walaupun mereka sebenarnya masih lagi memerlukan rawatan. Jika tidak dipenjarakan mereka dihalau ke dalam hutan atau terpaksa menyembunyikan diri mengelakkan diri mereka ditangkap semula dan disiksa. Mereka tidak dibenarkan memasuki bandar. Mereka tidak dibenarkan memiliki pekerjaan. Anak-anak mereka juga dihalang daripada meneruskan pelajaran di sekolah-sekolah kerajaan. Inilah sebahagian keperitan yang ditanggung oleh orang-orang Vietnam.
Di negara lain sepertimana Australia, Amerika termasuklah juga di Vietnam sekarang pejuang dan tentera mereka diiktiraf sebagai pahlawan atau hero dan diberi sokongan serta ganjaran oleh kerajaan mereka. Tetapi nasib pejuang Vietnam Selatan yang mempertahankan masyarakat Vetnam pada masa itu daripada diganggu oleh tentera Vietkong tidak terbela malahan terpaksa merempat dan melarikan diri ke negara asing ataupun dipenjara di negara sendiri.
Adalah diharapkan setelah mendengar penerangan ini kalian memahami betapa traumanya yang dihadapi oleh pelarian Vietnam. Sesungguhnya konflik yang berlaku antara Vietnam Utara dan Vietnam Selatan telah menuntut berjuta nyawa, beribu-ribu biji bom dan sebuah negara yang gersang.

Oleh : Nguyen Viet Huong , Public Speaking Award, 30 April 2000, Free Vietnamese Community in Queensland Australia

Kisah Bidong 22

Cerita orang pelarian meninggalkan negara mereka untuk mendapatkan tempat di negara lain

Pada tahun 1975 , Vietnam selatan telah ditawan oleh Vietnam Utara yang berfahaman komunis. Selepas itu kebanyakan kakitangan kerajaan dan tentera Vietnam Selatan yang ditawan dipenjarakan. Hampir semua sekali berubah, kehidupan menjadi begitu sukar dan membingungkan. Kami tidak boleh beragama dan tidak mempunyai kebebasan. Dari tahun 1975 hingga 1990 ramai penduduk Vietnam meninggalkan negara melalui jalan laut. Mereka dipanggil orang –orang pelarian atau orang hanyut. Dianggarkan 60% sahaja mencapai hajat mereka ke negara lain manakala 40% mati lemas di laut atau hilang entah ke mana dan sebahagian lagi menjadi mangsa lanun di Teluk Siam.
Kebanyakan orang Vietnam yang meninggalkan negara mereka menerima apa saja yang bakal berlaku. Mereka telah menggadaikan harta dan juga nyawa mereka. Ada di antara mereka dipenjarakan kerana tertipu manakala yang lain pula dikejar oleh polis, tetapi mereka tidak putus semangat dan cuba melarikan diri bila ada peluang. Sebab itulah terdapat orang-orang Vietnam di merata tempat di seluruh dunia. Berikut ialah cerita yang disampaikan oleh ayah saya :-

“ Saya tinggal dalam satu keluarga yang terdiri daripada sebelas orang. Saya mempunyai lapan orang adik beradik lelaki dan seorang kakak. Kami bekerja di gudang barangan harian milik keluarga. Keluarga kami boleh dikategorikan sebagai kelas pertengahan atau kelas kedua. Hidup menjadi sukar apabila Komunis datang. Kami sentiasa berada dalam kebimbangan dan perniagaan juga tidak dapat dijalankan. Kerajaan baru sentiasa mengawasi kami kerana dua adik beradik kami bekerja dengan kerajaan dahulu.
Satu hari ayah saya memberitahu kami supaya meninggalkan Vietnam dan kami mula membuat perancangan. Semejak itu sejarah hidup saya berubah. Semua adik beradik saya berjaya melarikan diri kecuali saya . Saya tidak bernasib baik, saya terlepas sebanyak tujuh kali dan dipenjarakan dua kali. Pada mulanya dipenjarakan selama enam bulan dan kali keduanya selama setahun. Saya membayar rasuah untuk dibebaskan. Walaupun saya gagal tapi saya tidak berputus asa.
Pada musim panas 1984 saya dapat melepaskan diri dan belayar selama tujuh hari sebelum tiba di Malaysia. Setiap perlayaran sememangnya mengalami ceritanya tersendiri begitu juga dengan saya. Bot saya berukuran tiga meter lebar dan lapan meter panjang tetapi memuatkan lima puluh orang. Kami kelihatan seperti tin sardin. Enjin bot pula kelihatan terlalu lama dan tidak bertutup. Tuan punya bot memaklumkan terdapat sebuah kapal sedang menunggu kami, tetapi kami tidak pernah melihat kapal berkenaan. Kami ditipu. Pada masa ini kami cuma berfikir bagaimana hendak menyelamatkan diri dan tiada peluang lagi untuk kembali, perjalanan mesti diteruskan jua. Kami berdoa dan berharap agar ada kapal yang lalu dan menyelamatkan kami. Cuaca juga berkeadaan baik.
Setelah sepuluh jam berlayar , enjin bot kami rosak, kami tidak mempunyai pengayuh ataupun layar untuk menggerakkan bot kami. Jadi bot kami hanyut tanpa sebarang kawalan atau arah. Makanan semakin berkurangan dan habis dalam masa dua hari. Pada hari ketiga kami cuma minum air hujan. Kami melihat beberapa buah kapal melintasi kami dan kami melambai-lambai ke arah mereka, tetapi mereka berlalu begitu sahaja.
Kami putus asa dan keletihan. Tiba-tiba pada malam ke tujuh kami mendarat di satun tempat. Kami tidak tahu dimana tempatnya sehinggalah polis Malaysia datang mengambil dan dihantar ke Pulau Bidong. Kini saya fikir hasrat saya akan menjadi kenyataan. Saya tinggal di Bidong selama sembilan bulan, kemudian saya ke Australia dengan bantuan abang saya. Saya tiba di Australia pada musim bunga. Saya berasa sangat ganjil ketika menaiki bas dari Lapangan Terbang Melbourne ke hotel Midway. Saya melihat banyak perkara termasuklah pengangkutan, rumah dan bangunan serta kehidupan di sini yang jauh berbeza dari negara saya. Di sini terdapat banyak taman-taman bunga yang cantik. Saya mula belajar cara hidup di Auatralia.
Saya sangat khuatir tentang bagaimana saya akan menghadapim kehidupan di sini. Saya juga merasakan sedikit sukar memperolehi pekerjaan disini kerana saya sangat lemah dalam Bahasa Inggeris. Kerana masalah Bahasa ini saya kerapkali terkenangkan kampungb halaman.
Saya tinggal di asrama Midway lebih kurang sebulan. Selepas kawan saya mencarikan kerja untuk saya saya pun berpindah. Saya bekerja di kilang membuat barangan perhiasan kerana sebelum ini saya juga ada pengalaman ini sewaktu di Vietnam. Saya rasa sedikit gembira.
Saya b ekerja di kilang Melbourne selama tiga tahun. Banyak perkara menarik yang saya pelajari sepanjang tempoh itu. Pada tahun 1999 saya berpindah ke Sydney kerana cuaca di Melbourne tidak sesuai dengan isteri dan anak-anak saya. Mereka selalu sakit. Anak-anak saya juga suka tinggal di Sydney dan mereka juga dapat bersekolah dengan baik.Saya berasa sungguh bertuah berada di Australia, begitu juga dengan penduduk negara ini yang dapat menjalani kehidupan dengan baik”.
Beginilah cerita bapa saya , beliau menyatakan Austaralia adalah negara keduanya dan beliau juga tidak melupakan Vietnam. Dia juga memberitahu saya bahawa saya sungguh bertuah kerana dilahirkan di sini.kebanyakan kanak-kanak di Vietnam tidak dapat bersekolah dan terpaksa bekerja keras kerana mereka miskin.
Sekarang saya belajar Bahasa Vietnam setiap Sabtu.Saya dilahirkan di sini dan tidak begitu mengetahui tentang Vietnam. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru saya , bila saya datang ke kelas ini saya sentiasa mengingati asal usul saya.
Pengarang : Vuong Thanh Loc

Kisah Bidong 21

Kisah Benar
Anak lelaki saya yang berumur lima tahun berbisik “ air, saya mahu air ! “, saya membelai wajahnya sambil berkata “ sabarlah nak, sekejap lagi mak akan dapatkan air “, kemudian saya pengsan. Saya tidak tahu berapa lama apabila saya sedar semula saya mendengar , “ saya dahaga, saya dahaga”.
Peristiwa ini berlaku pada hari ke tiga di atas bot, kami tiada sesuatu apapun untuk dimakan atau diminum. Kami tidak mampu berdiri, seorang lelaki telah meminum air laut. Belumpun sempat air itu sampai ke perutnya dia sudah muntah, segala apa yang ada dalam perutnya keluar. Selepas itu diapun sakit tenat. Keesokannya kanak-kanak kelihatan tidak bermaya lagi mereka senyap dan kadangkala terlena.Nasib kami agak baik awan hitam mula muncul di langit dan hujan pun turun. Penumpang bot bangun serta merta dan menadah serta meminum air hujan sebanyak-banyaknya. Kaum lelaki mencari bekas-bekas yang boleh menyimpan air. Kami mula merasakan harapan baru untuk kami meneruskan hidup.
Hujan terus mencurah semakin lebat. Kami mula gelisah. Lama kelamaan bot kami mula dipenuhi air. Seseorang berteriak “ bot kita akan karam, air terlalu banyak”. Kami mula bergerak menyebabkan bot semakin tidak stabil , kami sangat takut. Kemudian kami membuang segala apa yang ada di atas bot, sebahagian yang lain pula menimba air keluar dari bot. Akhirnya hujan berhenti , tetapi kami tidak ada apa-apa lagi kerana semuanya telah dibuang ke laut termasuk air untuk diminum.
Dua hari berlalu, semua orang tidk bermaya lagi, tidak seorangpun bangun berjalan atau berkata-kata. Keadaan sungguh “aman”. Dalam keheningan itu seorang lelaki tiba-tiba berteriak “ Saya nampak sebuah bot di sana”. Bagaikan di paksa kami serentak memandang ke arah tempat yang ditunjuk itu serta bersorak kegirangan. Kami rasa sangat bersyukur. Kami menggunakan segala jenis pakaian, baju, tuala dan sebagainya untuk melambai mereka sambil menjerit. Bot itu nampaknya semakin menghampiri kami sehinggalah jelas kelihatan. Apabila hampir dengan kami, kami mula berasa takut. Didalam bot itu kelihatan satu dozen nelayan yang berkulit gelap serta memegang senjata. Mereka bercakap dengan kuat dalam Bahasa Thai. Mereka merapatkan bot mereka dengan bot kami. Kemudian mengarahkan kami menaiki bot mereka. Mereka menyelongkar dan menyepahkan bot kami. Setelah beberapa jam mereka menyuruh kami menaiki semula bot kami dan mereka pergi.
Seketika kemudian datang pula bot lain. Lima orang lelaki melompat ke atas bot kami dan menggeledah lagi. Mereka juga mengambil pakaian yang kami pakai. Kemudian mereka mengarahkan kami memandang ke arah lain sementara mereka menelanjangkan dua gadis remaja dan merogolnya untuk beberapa jam. Saya berasa sangat takut dan geram. Saya memeluk erat anak saya dalam keadaan menggeletar. Kami mendengar gadis itu merintih dan merayu, tetapi semua orang tidak mampu berbuat apa-apa, kemudian mereka pergi.
Malam pun menjelma. Gadis itu sudah berhenti menangis, kami masih lagi kaku dan tidak mampu untuk berkata-kata. Sekali sekala terdengar keluhan dari sudut tertentu dalm bot ini. Kemudian bulan mula muncul di ufuk timur. Air laut memantulkan cahaya bulan ke arah kami dan menghasilkan suasana penuh kepiluan dan trauma. Esoknya mentari muncul lagi, dan sebuah bot lain datang. Mereka tiada apa-apa lagi untuk diambil kecuali datang dan memilih kaum wanita dikalangan kami untuk dirogol. Bot yang terakhir yang datang kepada kami nampaknya baik sedikit. Mereka memberikan kami makanan dan minuman dan berada sedikit jauh dari bot kami. Keesokannya mereka mula merompak dengan berhati-hati.Mereka mencari barang berharga dalam setiap mulut, rambut , dalam pakaian sehinggalah dalam seluar dalam dan dimana sahaja. Kemudian setiap orang mengambil seorang wanita dikalangan kami lalu merogolnya.Pada masa itu saya teringat kepada mendiang ayah saya, saya percayz rohnya akan membantu saya . Ketika mereka menarik saya, seluruh badan saya menggelatar, kemudian anak saya menarik saya dengan tangannya yang kecil dan lemah. Saya tidak menangis tetapi sangat takut. Bolehjadi mereka masih lagi ada perasaan belas kasihan terhadap saya lalu dia melepaskan saya.
Selepas selesai perlakuan mereka , mereka menenggelamkan bot kami lalu mereka menghantar kami ke sebuah pulau yang akhirnya kami ketahui sebagai Kho Kra dan meninggalkan kami disini. Kami berasa lega. Sekurang-kurangnya kami tidak mati di laut. Kho Kra sebuah pulau yang cantik dan dipenuhi dengan pokok-pokok yang menghijau. Terdapat alur sungai di sini serta pantainya yang berpasir memutih.
Kami semua dalam keadaan lemah dan sangat letih.Sebahagian daripada kami pergi mengambil air manakala yang lain berbaring di atas pasir. Dua orang gadis kelihatan sangat tenat. Kemudian kami mandi tanpa membuka pakaian dan membiarkannya sehingga ia kering semula. Kami tiada apa-apa lagi kecuali tangan kosong. Pada sebelah malam kami berkumpul dekat-dekat agar mengelak daripada kesejukan dan tidur di atas tanah. Pada waktu tengahari keesokannya sebuah bot menghampiri tempat kami. Kaum perempuan lari bersembunyi didalam semak, di celah batu, di dalam gua dan dimana sahaja tempat yang difikirkan dapat melindungi diri . Kami berasa sangat takut. Mereka selalu datang untuk mencari kaum wanita. Pada petangnya pula sebuah kapal tentera laut Thailand datang dan memaklumkan akan menyelamatkan kami. Mereka juga memberikan makanan dan minuman. Kemudian mereka meninggalkan kami dan memberitahu akan datang semula. Dua hari selepas itu sebuah bot nelayan yang terdiri daripada tiga puluh orang lelaki datang. Mereka membakar seorang pemuda sehingga pemuda itu pengsan. Kemudian saya melihat seorang kawan lelaki saya berada di atas batu dan jauh merenung ke laut. Saya menghampirinya lalu dimaklumkan bahawa kekasihnya telah dibawa pergi oleh nelayan-nelayan itu.
Setelah seminggu berada di Pulau Kho Kra kami dibawa oleh tentera laut Thailand ke kem pelarian Songkla, di selatan Thailand. Di sini kami mendengar pelbagai kisah ngeri dan penderitaan yang ditanggung oleh orang pelarian sebelum sampai ke sini. Kami juga mendapat tahu Pulau Kho Kra adalah tempat nelayan atau lanun Thailand menyembunyikan oeang-orang pelarian Vietnam dan mereka selalu menyiksa dan merogol oreng-orang pelarian ini. Orang-orang pelarian Vietnam perlu membayar harga yang sangat tinggi untuk mendapatkan sebuah kebebasan.
Pada tahun 1981 saya telah mendapat penempata baru di Amerika Syarikat. Tiga bulan selepas menjejakkan kaki di AS saya mendapat surat dari kakak saya yang memaklumkan abang saya dan keluarganya telah berlepas dengan bot beberapa minggu lalu, saya berasa gembira dan berharap kami dapat disatukan semula.Tetapi perasaan gusar tetap wujud. Dan saya tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan kegusaran ini. Beberapa hari kemudian saya menerima lagi sepucuk surat memaklumkan abang saya dibunuh didalam bot dua hari selepas belayar dan meninggalkan dua anak lelaki berumur lima tahun dan lapan bulan serta isterinya. Saya berasa sangat geram, saya dapat gambargan bagaimana keperitan dan penderitaan yang mereka alami walaupun saya tidak menyaksikan kejadian itu.
Awal tahun 1982 , saya mendapat satu lagi surat daripada bapa mertua memaklumkan anak lelakinya yang berumur dua belas tahun telah meninggalkan Vietnam baru-baru ini, saya mempunyai perasaan bercampur-campur, risau dan gembira. Tetapi saya tidak mendapat sebarang berita daripadanya sejak itu , samada berita baik atau berita buruk, saya telah menghubungi semua ahli keluarga mereka juga tidak mengetahuinya, seluruh bot yang dinaiki lenyap, kami terus menunggu berita daripadanya sehingga sekarang …………

Nota : Cerita ini ditulis pada bulan Jun 1999, USA.

Kisah Bidong 20

KISAH 20
Joe Devlin : Paderi orang Hanyut
Father James Joe Devlin telah berkhidmat selama lima tahun di Delta Mekong. Dia digelar seorang pejuang oleh orang hanyut yang melarikan diri ke Thailand.

Profesor Larry Eaglemen dar Universiti San Jose, bertemu dengan Father Joe Devlin untuk menerbitkan sebuah buku bertajuk “Tears Before the Rain – An Oral Story of The Fall of South Vietnam ( Oxford University Press). Beliau menjadi lagenda dikalangan petani Vietnam dan juga tentera Amerika kerana sumbangannya membantu mereka di kawasan delta sungai mekong selama lima tahun. Pada tahun 1975 beliau menjadi orang Amerika terakhir keluar dari Vietnam selatan. Pada tahun yang sama dia menjadi ketua paderi di kem sementara di Pendleton, California. Pada tahun 1979 dia pergi ke Songkla yang terletak di pantai timur Thailand dan degelar sebagai Paderi orang hanyut kerana membantu orang-orang pelarian Vietnam yang melarika diri ke Thailand. Pada tahun 1990 beliau bersara dan tinggal di kawasan penempatan orang-orang Vietnam di Los Gatos, California. Sekali lagi Devlin membantu menyatukan semula beratus-ratus pelarian yang terpisah dari keluarga mereka. Father Devlin meninggal pada tahun 1998, ketika berkhidmat untuk penduduk Asia di Gereja Lady of Peace Santa Clara. Ketika beberapa kali pertemuan dengan Profesor Eaglemann Father Devlin menceritakan pengalaman beliau bekerja dengan orang-orang Vietnam.

Pada musim panas 1975, Vietnam selatan begitu cepat sekali jatuh ke tangan musuh. Selepas tentera Amerika menarik diri kami bimbang selama manakah lagi kami mampu berada di sini. Semasa tentera Amerika berada di delta ini saya rasa selamat. Pemuda-pemuda amerika syarikat kelihatan tenang dang gagah, Mereka kelihatan baik sepertimana anak-anak muda yang berada di Amerika. Orang –orang Vietnam sangat mengharapkan mereka dilindungi. Sekali sekala kapal terbang mereka melintasi dan menyerang musuh mereka atau terbang menuju ke arah utara. Kami tidak tahu bagaimana kami akan hidup apabila tentera Amerika pergi dan berapa lama kami boleh bertahan di sini ? dan untuk apa lagi kami berada di sini ?.
Oleh itu sesuatu yang mengejutkan apabila kami masih lagi berada di sini pada tahun 1975 tanpa kehadiran tentera Amerika. Rakan saya Father Bach bertanya kami “ terangkan mengapa kamu berada di sini selama sepuluh tahun sedangkan kamu gagal menyelamatkan kami……. Lebih baik kamu tidak datang ke sini …. Ia menyelamatkan beribu-ribu nyawa orang-orang kami”, Saya tidak mempunyai jawapan dan saya sendiri tidak faham mengapa berlaku begini.
Pada bulan Mac dan April 1975 tentera Komunis semakin mara ke selatan. Saya khuatir vietnam akan berpecah lagi sepertimana yang telah berlaku pada tahun 1954, mereka telah mencipta satu sempadan ke utara sedikit dari Saigon. Kami fikir kami masih lagi boleh bertahan di sini untuk tempoh setahun. Apabila ramai orang di sini mati dan kami bersungguh-sungguh menentang komunis tentera amerika akan datang membantu kami. Tetapi ternyata andaian kami tidak betul.
Kerajaan Vietnam Selatan tumbang terus. Ini amat mengejutkan saya. Ketika hari terakhir sekiranya mereka boleh meninggalkan Vietnam, kesemua mereka akan meninggalkan Vietnam dan kami akan mempunyai 20 juta pelarian bukannya 130,000 orang.
Seorang Pegawai CIA datang ke kampung tempat saya tinggal dan memaksa saya ke Saigon. Bila saya tiba di Saigon saya bertemu dengan Geoge Jacobson di kedutaan Amerika dan berkata “ Tuan , izinkan saya kembali ke kampung saya, saya tergopoh gapah datang ke sini bolehkan tuan tolong saya, saya tidak mahu melarikan diri dalam keadaan sebegini”. Dan dia membalas , “ Saya faham, tengahari ini ada sebuah kapal terbang kecil akan ke Nha Trang , jikalau awak mahu ikut dia boleh tinggalkan kamu di Phan Thiet “,. Jadi saya menumpang mereka dan kembali ke kampung.Penduduk kampung bersorak riang apabila mereka melihat saya kembali.
Pada petang yang sama USAID ( U.S. Agency for International Development) datang dan memaklumkan bahawa terdapat dua helikopter terakhir yang membawa orang Amerika Syarikat keluar. Apabila mereka datang mengambil saya , saya bersembunyi di sebalik pokok dan mereka terbang meninggalkan saya. Saya berfikir masyarakat di sini lebih memerlukan saya. Tetapi saya mula berfikir untuk saya membawa masyarakat di sini melarikan diri. Musuh semakin hampir. Kemudian saya melihat satu pasukan tentera kami melalui kampung ini. Keadaan mereka amat menyedihkan. Selepas itu saya berjumpa dengan ketua daerah dan memaklumkan hasrat untuk membawa penduduk seramai 250 orang melarikan diri dan meminta beliau memberikan perlindungan. Beliau menyatakan bahawa kami harus menanggung sendiri segala risiko kerana beliau dan orang-orang nya sibuk dengan peperangan. Saya mendapat sumber kewangan daripada Agensi Bantuan Khatolik sebanyak 1500 dollar bagi menyewa bot mendahului musuh dan keluar daipada sempadan. Kami turun ke selatan iaitu ke Vung Tau dan menunggu di pantai.
Saya menyedari bahawa peperangan ( Perang Amerika – Vietnam ) telah berakhir, jadi saya ke kedutaan memohon bantuan bot untuk membawa lari 250 orang penduduk bersama saya. Pegawai kedutaan pada masa itu ialah sahabat saya yang pernah bekerja dengan CIA. Beliau berkata kepada saya “Father kita mempunyai 200,000 orang untu kita jaga, permintaan kamu tidak boleh dtunai lagi pun orang-orang yang bersama kamu hanyalah para petani miskin yang tidak dikehendaki oleh Komunis, mereka tidak mengapa-apakan orang-orang ini”. Dan apa yang dinyatakan ini ada juga kebenarannya.
Saya membawa bersama seorang jururawat dan seorang budak lelaki yang selalu membantu saya di hospital. Jururawat itu memohon untuk mengambil anaknya di selatan Saigon. Selepas pergi selama satu jam dia kembali semula dan menyatakan semua jalan keluar Saigon telah ditutup dan kini kami terkepung.Saya menyatakan “ Tiada guna lagi kita di sini, musuh sudah terlalu hampir dan kita perlu tinggalkan Saigon sekarang”.
Pada 29 April saya mengatur strategi untuk meninggalkan Vietnam. Saya ingin membawa lari semua mereka tetapi apakan daya, saya dah cuba dapatkan duit, saya cuba dapatkan bot, tetapi saya sendiri terperangkap di Saigon. Dan jika saya kembali kepada mereka pun , ini akan lebih memburukkan keadaan kerana saya orang luar. Sekarang saya menumpang di sebuah gereja di Saigon, oleh kerana saya orang Amerika saya percaya saya akan dipenjarakan apabila ditakluki Komunis nanti. Dan paderi keturunan Vietnam di sini juga dikhuatiri menerima nasib buruk. Jadi saya terpaksa pergi juga.
Saya meminta sahabat saya menghantar saya dengan kereta ke sebuah hotel dimana terdapat tempat pendaratan helikopter di bumbungnya. Apabila tiba hotel ianya dikawal oleh tentera amerika yang lengkap bersenjata. Setelah mendapat kebenaran saya terus ke bumbung tempat helikopter mendarat. Kami diberitahu bahawa kami cuma dibenarkan membawa satu beg sahaja. Seorang pegawai CIA membuka beg wiskinya lalu mengagih-agihkan kepada orang lain . Semua yang ada di situ meminum minuman itu. Semasa kami berdiri di sini sebuah kapal terbang terbakar sebaik sahaja ia mendarat. Api marak begitu cepat dan menjulang tinggi. Ia merupakan sebuah kapal terbang untuk perpindahan ( CA 59) Saya melihat bagaimana ia mendarat dan dapat mengagak satu bencana akan berlaku apabila api mulai keluar daripadanya.
Kita dapat melihat gambar popular helikopter mendarat di atas bangunan sewaktu memindahkan manusia di saat kejatuhan Saigon, dan salah seorang yang berada di atas tangga di bangunan tersebut ialah saya. Kami berada di bumbung bangunan itu sambil memerhatikan kejatuhan Saigon. Akhirnya helikopter datang mengambil kami dan menghantar ke kedutaan Amerika dimana tempat orang-orang Amerika berkumpul. Saya masih ingat di halaman kedutaan itu terdapat pokok asam jawa yang sangat besar. Bila sebuah helikopter chinook mendarat pokok asam jawa itu bergoyang ke depan dan belakang. Kami rasa sedikit takut. Helikopter itu berulang kali naik dan turun seperti sebuah lif..
Mereka memberitahu kami supaya ke Tan Son Nhut Airport. Mereka berkata di sana terdapat sebuah kapal terbang menunggu kami. Apabila tiba di situ jururawat yang bersama say menyatakan dia tidak mahu ikut serta, saya membiarkan dia pergi dan sejak dari itu kami tidak pernah berjumpa dan tidak tahu khabar beritanya. Kami berkumpul di ibu pejabat MACV iaitu di atas gelanggang tenis. Tidak berapa lama tentera marin datang berkawal. Sebuah helikopter besar yang memuatkan 70 orang datang mengambil kami dan membawa ke kapal USS Midway.
Helikopter-helikopter kami dirapat-rapatkan untuk memberi peluang kepada helikopter kecil Vietnam mendarat di USS Midway keesokan harinya. Bersama saya tiada lagi orang Amerika sewaktu ke Midway. , Saya juga merasakan semua paderi Amerika di Vietnam telah melarikan diri. Saya juga tidak nampak ramai orang di USS Midway, mereka dipindahkan dalam masa beberapa jam sahaja. Tetapi saya ditempatkan di sini. Saya merasakan saya menghidapi batuk kering lalu ditempatkan di bilik sakit. Keesokannya saya keluar dari bilik sakit.
Saya berasa sangat sedih, sambil merenung siling di dalam kapal Midway , saya sudah tahu bahawa bahawa seluruh Vietnam telah jatuh ke tangan Komunis. Saya berada dalam keadaan selamat di sini sedangkan mereka mula diperintah oleh kerajaan baru. Inilah kali pertama saya berasa diri saya begitu rendah.
DI USS Midway saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada tentera marin yang menyelamatkan kami. Mereka tidak menghadapi masalah ketika menjalankan tugas memindahkan kami. Mereka bercerita “ Kami ditempatkan di kedutaan Amerika, dan tidak menghadapi sebarang kesukaran. Kami telah memotong sebahagian besar pokok asam jawa yang besar itu.”. Sebelum ini apabila ada pelawat , kedutaan Amerika selalu menyatakan pokok asam jawa ini merupakan simbol kegagahan Amerika. Sekarang Amerika meninggalkan Vietnam jadi tentera marin memotong pokok asam jawa ini.
Sewaktu di Midway juga saya menghantar beberapa mesej ke Kem Pendleton dimana kebanyakan pelarian dihantar. Saya bertanyakan mereka adakah sebarang pekerjaan mereka di sana. Saya sangat menghargai mereka jika diberi sebarang peluang pekerjaan. Saya sanggup bekerja tanpa apa-apa bayaran. Cuma saya ingin bekerja untuk orang-orang Vietnam.
Saya tiba di Los Angeles dan kemudian ke San Francisco kemudian ke Utah. Semasa berada di Utah mereka memanggil saya untuk berkhidmat sebagai pembantu paderi di Kem Pelarian Peddleton untuk orang pelarian dan tentera marin..Saya menginap di Kem tentera marin di kem berkenaan. Saya datang ke sana pada bulan Jun dan kem berkenaan ditutup pada bulan Disember iaitu pada hari Krismas.
Saya gembira kerana dapat berkhidmat lagi untuk orang-orang Vietnam. Mereka dalam kesedihan walaupun tidak sesedih rakan-rakan mereka keluar setelah tahun 1975 ataupun mereka yang keluar melalui jalan laut dan mendapat gelaran “orang hanyut”. Orang-orang Vietnam yang berada di Kem Peddleton kebanyakannya golongan cerdik pandai dan golonga elit. Mereka sudah mengagak apa yang berlaku di Vietnam setelah pengunduran tentera Amerika. Mereka juga menunjukkan kemampuan yang baik bila melakukan sebarang pekerjaan apabila sampai di Amerika Syarikat.
Di sini kehidupan tidak begitu menyusahkan. Tentera marin juga memberikan layanan yang baik kepada pelarian. Walaupun merekia melalui tempoh masa peprangan di Vietnam mereka masih bersikap lemah lembut dan sopan. Mereka cuba sedaya upaya membantu orang-orang pelarian dan cuba menjadikan Kem Peddleton sebagai kem yang terbaik. Dan sebenarnya mereka berjaya. Saya begitu seronok tinggal di sini.
Tugas saya ialah menyampaikan khutbah dan menyusun atur aktiviti gereja serta memberi khidmat kaunseling untuk memulihkan semangat mereka. Tentera marin juga membantu mereka supaya bersikap positif. Makanan di sini agak sedikit, tetapi tidak lah membawa mereka kepada kebuluran, cuma sedikit masalah makanan di sini adalah makanan orang-orang Amerika sedangkan mereka orang timur, orang Vietnam. Saya juga membantu mereka mencari penempatan. Persatuan-persatuan menyumbangkan pakaian dan khemah. Setelah khemah dibina ia kelihatan sebuah penempatan yang menarik.
Orang-orang Vietnam masih lagi tiba di kem ini,manakala pendatanag yang ada disini belum lagi ditempatkan tetapi pihak kerajaan mahu kem ini ditutup sebelum musim hujan. Sebelum Krismas mereka dihantar ke Fort Chafee, Ark dan kemudian ke penempatan baru atau rumah keluarga mereka. Kem Peddleton kosong menjelang Krismas.
Selepas kem tersebut kosong, saya pergi ke San Jose untuk membantu pelarian yang baru tiba. Saya menjaga setiap pelarian yang ada di sini.Saya mencari sumber makanan dan tempat tinggal untuk mereka. Saya mengajar mereka Bahasa Inggeris kepada orang dewasa dan kanak-kanak serta mencari sekolah untuk mereka. Saya pulang ke rumah lewat malam hampir setiap hari. Saya pergi ke setiap keluarga orang Vietnam di San Jose untuk membantu mereka. Saya bertanyakan keperluan mereka dan cuba mendapatkan bantuan dari pelbagai persatuan kebajikan. Sebaga bekas guru saya juga membantu mengajar kanak-kanak kadang-kadang siang dan malam.
Saya tahu bila saya membantu mereka , mereka akan berjaya di Amerika. Saya rasa jiwa kebebasan berkembang dalam diri mereka dan akan menyumbang untuk orang lain disamping menjadi seorang masyarakat yang baik.Saya juga mengajar mereka supaya mereka berasa beruntung berada di negara ini.
Satu ketika seseorang telah menulis surat kepada saya dan memaklumkan bahawa kawan saya di Vietnam Father Bach berada di Kem Pelarian di Thailand. Beliau dilantik sebagai ketua kem disana. Saya menulis sepucuk surat kepada Pertubuhan Orang-orang Pelarian dan menyatakan hasrat untuk berkhidmat di sana dan mereka mengalu-alukan hasrat saya.
Pada tahun 1979 buat pertama kalinya saya pergi ke Thailand.Saya tidak pasti adakah saya boleh tinggal di sana. Saya pergi ke sana atas tiket COERR ( Catholic Organization For Emergency Relief and Refuges). Saya pergi ke Kem Pelarian Song Kla yang terletak di pantai timur Thailand iaitu di Teluk Siam. Kem ini menempatkan pelarian Vietnam yang sampai ke sini melalui jalan laut. Mereka juga digelar orang hanyut. Saya seorang sahaja yang bertugas sebagai paderi di sini. Sumbangan kewangan mula datang dari pelbagai sumber di Amerika. Saya memberikan wang kepada pelarian dan memberi lebih sedikit kepada mangsa-mangsa rogol dan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapanya unruk membeli barang-barang keperluan di kedai yang terdapat di kem ini.
Sewaktu saya tiba di sini terdapat lebih kurang 7,000 orang-orang pelarian Vietnam. Bilangan ini semakin bertambah sehingga 8,000 orang. Saya cuba menguruskan mereka dan menghantar sedikit demi sedikit ke Amerika atau negara lain yang sanggup menerima mereka.
Pada mulanya terdapat empat hingga lima persatuan yang datang membantu disini. Doktor Tanpa Sempada Juga datang untuk memberi bantuan perubatan dan merawat orang-orang pelarian Vietnam. Kemudian Persatuan Katholik mengambil alih bantuan perubatan. Sepanjag tiga tahun kemudiannya hanya persatuan ini yang masih tinggal di sini.
Kerajaan Thailand tidak suka kem ini wujud. Kedudukan mereka yang dekat dengan Vietnam akan menggalakkan lagi orang-orang pelarian datang ke sini. Akhirnya pada tahun 1986 kem ini ditutup.
Saya selalu menulis artikel-artikel yang dimuatkan didalam Majalah Jersuit. Pada peringkat awalnya pelarian Vietnam yang datang ke sini terdiri daripada pelbagai peringkat. Tetapi selepas itu kebanyakan yang tiba terdiri daripada petani-petani Vietnam yang rata-ratanya miskin.
Kebanyakan orang tidak mengetahui bahawa sejumlah besar orang-orang pelarian Vietnam mati di laut. Sebenarnya pada masa itu masalah komunikasi menyebabkan maklumat kematian serta tiada siapa dapat memaklumkan adanya kematian kerana tidak ada seorangpun yang terselamat dari setiap buah bot yang karam. Terdapat sesetengah pihak yang mendakwa hampir 100,000 pelarian Vietnam karam dan meninggal di laut. Saya mengganggarkan satu perempat daripada jumlah pelarian Vietnam yang hilang atau meninggal dunia di laut.
Setiap pagi apabila kami pergi ke pantai kami akan dapati pelbagai mayat lelaki, wanita dan kanak-kanak yang terdampar. Satu ketika beratus-ratus mayat yang mendarat di sini seperti kayu hanyut. Ada masanya pula ialah mayat-mayat wanita Vietnam yang dirogol kemudian dihumban ke laut agar mereka mati lemas. Inilah tragedi yang tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Hampir setiiap hari ada sahaja mayat-mayat yang terdampar di pantai. Kami memungut, menkebumikan , dan sembahyang ke atas rohnya. Kadang-kadan saya rasa malas untuk bangun pagi dan pergi ke pantai untuk menyaksikan mayat-mayat yang bergelimpangan. Saya juga sering bertanya apakah dunia luar mengetahui perkara sebegini terjadi. Ada juga yang masih hidup terdampar di Pantai, mereka selalunya pengsan atau keletihan serta kebuluran. Mereka menganggap kami malaikat. Tetapi kami hanyalah lelaki da wanita yang membantu mereka.
Cuaca adalah salah satu penyebab mereka ditimpa bencana. Pelayaran mereka selalu menghadapi pelbagai bencana. Ada masanya mereka terserempak dengan pihak berkuasa Vietnam, bot mereka dipaksa pulang dan mereka akan dimasukkan ke dalam penjara. Tetapi penyebab utama kematian mereka ialah lanun. Lanun-lanun ini akan memintas bot mereka. Mula-mulanya mereka menyelongkar emas dan barang-barang berharga termasiklah gigi emas yang dipakai, selepas itu mereka akan memilih wanita-wanita muda serta gadis dan kanak-kanak perempuan untuk dibawa ke atas bot mereka untuk diperkosa. Kerap kali pula selepas diperkosa mereka akan dihumban ke laut. Ada juga yang melanggar bot pelarian Vietnam setelah merampas barang-barang berharga untuk menghilangkan bukti perbuatan mereka.
Sesetengah kumpulan lanun ini akan menyerahkan gadis atau wanita yang diculik kepada kumpulan atau bot lain setelah mereka menodai perempuat itu dan begitulah seterusnya setelah mereka merogolnya beratus-ratus kali. Terdapat juga kisah bagaimana wanita-wanita ini diikat dengan tali dan ditarik dengan bot , apabila sudah meninggal mereka akan memotong tali itu dan wanita itu akan tenggelam.Terdapat juga yang disembelih sebelum dicampak ke laut atau dicampak hidup-hidup begitu sahaja. Sesetengah bot nelayan pula memaksa mereka bekerja untuk mereka, tetapi apabila tidak diperlukan lagi mereka akan dihumbangkan ke laut seperti sampah. Mereka hanyut ke pantai atau terus bersemadi di dasar laut.
Kami menaburkan bunga dan bersembahyang sebagai memperingati dan memberi penghormatan kepada mereka yang hilang atau meninggal di laut. Kami pertcaya terlalu ramai orang-orang pelarian yang mati di laut . Apabila kami mendengar berita ada sahaja pembunuhan yang dilakukan oleh lanun di laut kami akan adakan upacara memperingati mereka. Boleh dikatakan setiap minggu upacara ini kami lakukan sewaktu kami di Kem Songkla.
Satu ketika seorang kawan saya mengatakan pelarial Vietnam merupakan orang yang tiada tempat berlindung. Secara spontan saya membalas yang dasar laut merupakan rumah yang kekal bagi mereka. Hampir berpuluh-puluh ribu berkubur di dasar laut. Ianya merupakan satu tragedi yang tidak dapat digambarkan.
Sebahagian besar kaum wanita dan gadis yang mendarat di sini menyimpan seribu rahsia tersendiri. Keadaan kem disini yang tidak terurus dan nampak primitif sebenarnya membantu meringankan trauma yang sedang mereka hadapi. Sekiranya seseorang mangsa rogol berada dalam persekitaran yang selesa mereka berkemungkinan tidak dapat menyesuaikan diri dan menjadi lebih trauma. Di sini juga terdapat ramai mangsa rogol dan mereka saling membantu menenangkan antara satu sama lain. Sesetengahnya mempu mengharungi kehidupan seperti biasa.
Dikalangan kaum pelarian lelaki pula sesetengahnya mereka menggangap wanita mangsa rogol ini tidak lagi berharga dan boleh diperdagangkan.Pandangan sebegini menyebabkan mangsa-mangsa rogol kerap mengalami trauma yang berpanjangan dan suka menarik diri. Inilah satu keadaan yang menyedihkan bila kita memikirkannya. Saya telah membantu beberapa gadis yang menjadi mangsa rogol. Memberi kaunseling kepada mereka , meminta mereka menulis pengalaman mereka dan membersihkan pemikiran mereka, Ia sebenarnya sesuatu yang sukar. Sebahagian mereka mampu menghadapinya dan menjalani kehidupan yang lebih baik. Mereka bertemu jodoh, beranak pihak dan keperitan yang mereka tanggung kian luntur sedikit demi sedikit. Walaupun tidak hilang sepenuhnya , bebanan yang ditanggung sekurang-kurangnya semakin hilang.
Terdapat juga lanun-lanun yang bersikap keterlaluan dan aneh. Mereka mengganggap gadis-gadis yang dirogol menyukai mereka lalu pada waktu malam mereka datang semula untuk mendapatkan gadis berkenaan sekali atau beberapa kali. Kami juga akan cuba sedaya untuk menangkap mereka dan kerapkali kami berjaya.
Sekali saya pernah mendapat surat undangan perkahwinan daripada seorang gadis. Sewaktu dia bersama saya di Songkla dia baru beumur sepuluh tahun. Saya masih ingat dahulu saya pernah berkata kepadanya “awak datang ke sini menghadapi lanun, lemas di laut atau kemungkinan dirogol untuk mendapatkan sebuah kebebasan dan akhirnya kamu berjaya mengharunginya “. Dalam suratnya dia berkata “ saya sangat gembira dapat berjumpa dengan kamu lagi sejak kehilangan kamu sewaktu di “kinyergarden” Perkataan yang diajar sewaktu di kem dahulu.mereka sebenarnya orang yang hebat.
Sebahagian mangsa rogol mengandung. Ada yang memelihara anak yang dilahirkan dan ada yang digugurkan.Mengikut budaya asal mereka lelaki Vietnam tidak menyukai wanita yang dirogol tetapi di sini mereka mengabaikannya dan sesetengah wanita ini bertemu jodoh di sini.
Dua orang wanita berhasrat memelihara anak yang mereka kandung. Tetapi mereka banyak menghadapi masalah lalu menubuhkan Persatuan Perancang Keluarga. Mereka akan menasihatkan gadis-gadis yang hamil akibat dirogol menggugurkan kandungan mereka. Mereka akan memberikan perkhidmatan secara percuma. Perbuatan mereka sebenarnya bertentangan dengan Prinsip katholik saya dan sekiranya mereka datang berjumpa saya, saya akan menghalangnya.
Sebelum kem ini ditutup terdapat kira-kira 37 orang sahaja yang masih tinggal.Keadaan ini agak merbahaya kerana bilangan kami yang sedikit memberi peluang kepada lanun datang dan mengganggu wanita dan gadis-gadis di kem ini pada malam hari. Jadi kami secara senyap-senyap masuk ke dalam kem untuk menjaga keselamatan mereka bersama kawan saya dari Jepun dan India. Pihak Thailand tidak membenarkan kami memasuki kem pada waktu malam kerana mereka mengganggap kami akan mengganggu gadis-gadis didalam kem walaupun kami melindungi mereka. Kami pergi ke kem dengan motorsikal pada waktu malam apabila menghampiri kem kami akan memadamkan lampu. Apabila kami dapati polis Thailand sedang leka atau tiada kami akan menyusup ke dalam kem. Selama sebulan kami berbuat demikian untuk menjaga mereka dari ancaman lanun.
Selepas itu kami dapati polis disini mempunyai disiplin yang baik dan ketua mereka juga amat baik. Kami bekerjasama sepenuhnya dan memberi apa jua bantuan dan begitulah sebaliknya. Mereka juga sangat senang dengan kami.
Akhirnya VISA saya tamat dan Kerajaan Thailand mahu menutup kem dan menghendaki saya meninggalkan Thailand. Saya kembali ke Amerika Syarikat. Sebaik sahaja menjejakkkan kaki di negara saya .Saya berharap agar dapat berkhidmat lagi di kem-kem pelarian. Tetapi mereka menyatakan saya sudah terlalu tua walaupun saya tidak merasa begitu.-END-