Rabu, 28 Januari 2009

Kisah Bidong 23

Trauma Akibat Perang Vietnam
Bayangkan diri anda berada didalam sebuah bot kecil yang terumbang ambing berada di Lautan Pasifik tanpa mengetahui arah dan tujuan. Tidak juga mengetahui nasib orang-orang disayangi yang ditinggalkan di daratan. Tidak juga mengetahui juga nasib diri untuk hari esoknya samada masih mampu bernafas atau tidak. Perut pula menyanyikan lagu keroncong untuk meminta walaupun secebis makanan kerana telah tiga hari tidak makan. Apa yang tinggal hanyalah air laut yang terhampar tanpa penghujungnya. Apa yang termampu hanyalah terbaring kaku tanpa sepatah kata di lantai bot dalam keadaan berhimpit-himpit. Apa yang bermain di fikiran ialah, Adakah kami akan selamat ?, Bilakah aku akan sampai di Kem Pelarian ?, Minta-minta ribut tidak akan datang ?? Apakah lanun akan menghalang perjalanan ??? Dan bermacam-macam halangan dan cabaran yang akan dihadapi oleh orang-orang pelarian Vietnam.
Hari ini saya ingin membawa anda meninjau kembali apa yang telah terjadi kepada Vietnam semejak tahun 1950an hinggalah tahun 1980an. Walaupun saya bukanlah seorang veteran perang Amerika atau Australia yang menceritakan semula kenangan beliau dan saya bukanlah sebuah TV yang yang mampu menceritakan pelbagai fakta kepada anda. Saya cuba memaparkan beberapa perkara yang mungkin anda belum pernah dengari sebelum ini. Saya cuba membawa anda supaya anda dapat merasai diri anda sebagai orang-orang pelarian Vietnam Selatan. Banyak cerita-cerita yang telah mula dilupakan sedangkan ianya telah mencoret satu sejarah hitam dalam buku sejara Vietnam dan sejarah dunia juga.
Perang Vietnam ialah satu konflik yang berlaku dari tahun 1950an hingga tahun 1975 memakan masa melebihi 25 tahun. Perang ini berlaku antara dua pihak iaitu Vietnan Utara, Vietcong, Rusia dan China menentang satu lagi pihak iaitu Vietnam Selatan, Amerika, Australia dan beberapa negara lagi. Vietnam Selatan menjadi medan pertempuran. Itulah sebabnya mengapa terlalu ramai orang-orang Vietnam menjadi pelarian. Persoalannya mengapakah mereka melarikan diri ?
Pada 30 April 1975 pasukan komunis Vietnam Utara telah telah berjaya menakluki Saigon dan memenangi peperangan ini. Hampir dua juta penduduk Vietnam Selatan terbunuh manakala jumlah tentera Amerika dan Australia yang menemui ajal ialah 58 ribu dan 504 orang. Jumlah bom yang digugurkan ialah tiga kali ganda daripada perang dunia ke dua. Inilah sebabnya mengapa orang-orang Vietnam mula melarikan diri. Mereka menjadi sangat takut. Tentera Komunis Vietnam Utara akan menangkap pegawai dan kakitangan kerajaan terdahulu serta bekas–bekas tentera lalu dipenjarakan atau ditahan di kem-kem pemulihan (Re education Camp). Orang-orang Vietnam percaya mereka melarikan diri untuk menyelamatkan masa depan keluarga mereka.
Bagaimanakah mereka melarikan diri ?. Proses untuk menyelamatkan diri mengambil masa yang lama , kadang-kadang sehingga dua tahun. Mereka terpaksa menjual segala harta benda untuk mendapatkan wang bagi membiayai perjalanan. Rata-rata bot mereka berukuran 3 meter hingga 10 meter yang dibuat daripada kayu. Bot yang mampu memuatkan 20 hingga 30 orang ini biasanya akan membawa lebih 100 orang. Mereka datang dalam kumpulan-kumpulan kecil 3 hingga lima orang kemudian bersembunyi bersama kumpulan lebih besar sementara menunggu malam untuk mengelakkan daripada ditangkap atau ditembak oleh pasukan Vietkong. Setelah berjaya menaiki bot maka bermulalah satu episod baru dalam hidup mereka. Banyak sekali pelayaran mereka ini mengalami pengalaman yang sangat menggerikan. Mereka berada dalam keadaan berasak-asak seperti ikan sardin. Hampir setiap orang akan mabuk laut dan kemudiannya muntah. Dimanakah mereka akan buang muntah mereka?. Dimanakah tandas mereka ?. Mereka juga tidak terlepas daripada ancaman lanun yang kerap kali menghampiri bot mereka serta menyelongkar dan merampas barangan beharga yang dibaw., kaum wanita dirogol, diculik, serta dijual ke rumah-rumah pelacuran. Setengahnya pula ditinggalkan di pulau-pulau yang tidak ada apa-apa sehinggalah mereka diselamatkan atau mati.
Sebahagian bot pelarian Vietnam ini pula dilanda ribut menyebabkan mereka karam. Sebahagian lagi kehabisan makanan atau hanyut tanpa arah hingga berbulan-bulan menyebabkan mereka mati kebuluran. Bagi yang bernasib baik mereka diselamatkan oleh kapal-kapal yang lalu lalang atau tiba di kem Pelarian dengan selamatnya. Satu juta orang-orang Vietnam menjadi pelarian, sebahagiannya bersemadi di dasar laut manakala yang lain bertebaran di seluruh dunia seperti Australia, Amerika Syarikat dan sebagainya.
Apakah pula nasib mereka yang masih tinggal di Vietnam ?,. Tentera yang dikeluarkan dari hospital akan dipenjarakan walaupun mereka sebenarnya masih lagi memerlukan rawatan. Jika tidak dipenjarakan mereka dihalau ke dalam hutan atau terpaksa menyembunyikan diri mengelakkan diri mereka ditangkap semula dan disiksa. Mereka tidak dibenarkan memasuki bandar. Mereka tidak dibenarkan memiliki pekerjaan. Anak-anak mereka juga dihalang daripada meneruskan pelajaran di sekolah-sekolah kerajaan. Inilah sebahagian keperitan yang ditanggung oleh orang-orang Vietnam.
Di negara lain sepertimana Australia, Amerika termasuklah juga di Vietnam sekarang pejuang dan tentera mereka diiktiraf sebagai pahlawan atau hero dan diberi sokongan serta ganjaran oleh kerajaan mereka. Tetapi nasib pejuang Vietnam Selatan yang mempertahankan masyarakat Vetnam pada masa itu daripada diganggu oleh tentera Vietkong tidak terbela malahan terpaksa merempat dan melarikan diri ke negara asing ataupun dipenjara di negara sendiri.
Adalah diharapkan setelah mendengar penerangan ini kalian memahami betapa traumanya yang dihadapi oleh pelarian Vietnam. Sesungguhnya konflik yang berlaku antara Vietnam Utara dan Vietnam Selatan telah menuntut berjuta nyawa, beribu-ribu biji bom dan sebuah negara yang gersang.

Oleh : Nguyen Viet Huong , Public Speaking Award, 30 April 2000, Free Vietnamese Community in Queensland Australia

Tiada ulasan: