Rabu, 28 Januari 2009

Kisah Bidong 22

Cerita orang pelarian meninggalkan negara mereka untuk mendapatkan tempat di negara lain

Pada tahun 1975 , Vietnam selatan telah ditawan oleh Vietnam Utara yang berfahaman komunis. Selepas itu kebanyakan kakitangan kerajaan dan tentera Vietnam Selatan yang ditawan dipenjarakan. Hampir semua sekali berubah, kehidupan menjadi begitu sukar dan membingungkan. Kami tidak boleh beragama dan tidak mempunyai kebebasan. Dari tahun 1975 hingga 1990 ramai penduduk Vietnam meninggalkan negara melalui jalan laut. Mereka dipanggil orang –orang pelarian atau orang hanyut. Dianggarkan 60% sahaja mencapai hajat mereka ke negara lain manakala 40% mati lemas di laut atau hilang entah ke mana dan sebahagian lagi menjadi mangsa lanun di Teluk Siam.
Kebanyakan orang Vietnam yang meninggalkan negara mereka menerima apa saja yang bakal berlaku. Mereka telah menggadaikan harta dan juga nyawa mereka. Ada di antara mereka dipenjarakan kerana tertipu manakala yang lain pula dikejar oleh polis, tetapi mereka tidak putus semangat dan cuba melarikan diri bila ada peluang. Sebab itulah terdapat orang-orang Vietnam di merata tempat di seluruh dunia. Berikut ialah cerita yang disampaikan oleh ayah saya :-

“ Saya tinggal dalam satu keluarga yang terdiri daripada sebelas orang. Saya mempunyai lapan orang adik beradik lelaki dan seorang kakak. Kami bekerja di gudang barangan harian milik keluarga. Keluarga kami boleh dikategorikan sebagai kelas pertengahan atau kelas kedua. Hidup menjadi sukar apabila Komunis datang. Kami sentiasa berada dalam kebimbangan dan perniagaan juga tidak dapat dijalankan. Kerajaan baru sentiasa mengawasi kami kerana dua adik beradik kami bekerja dengan kerajaan dahulu.
Satu hari ayah saya memberitahu kami supaya meninggalkan Vietnam dan kami mula membuat perancangan. Semejak itu sejarah hidup saya berubah. Semua adik beradik saya berjaya melarikan diri kecuali saya . Saya tidak bernasib baik, saya terlepas sebanyak tujuh kali dan dipenjarakan dua kali. Pada mulanya dipenjarakan selama enam bulan dan kali keduanya selama setahun. Saya membayar rasuah untuk dibebaskan. Walaupun saya gagal tapi saya tidak berputus asa.
Pada musim panas 1984 saya dapat melepaskan diri dan belayar selama tujuh hari sebelum tiba di Malaysia. Setiap perlayaran sememangnya mengalami ceritanya tersendiri begitu juga dengan saya. Bot saya berukuran tiga meter lebar dan lapan meter panjang tetapi memuatkan lima puluh orang. Kami kelihatan seperti tin sardin. Enjin bot pula kelihatan terlalu lama dan tidak bertutup. Tuan punya bot memaklumkan terdapat sebuah kapal sedang menunggu kami, tetapi kami tidak pernah melihat kapal berkenaan. Kami ditipu. Pada masa ini kami cuma berfikir bagaimana hendak menyelamatkan diri dan tiada peluang lagi untuk kembali, perjalanan mesti diteruskan jua. Kami berdoa dan berharap agar ada kapal yang lalu dan menyelamatkan kami. Cuaca juga berkeadaan baik.
Setelah sepuluh jam berlayar , enjin bot kami rosak, kami tidak mempunyai pengayuh ataupun layar untuk menggerakkan bot kami. Jadi bot kami hanyut tanpa sebarang kawalan atau arah. Makanan semakin berkurangan dan habis dalam masa dua hari. Pada hari ketiga kami cuma minum air hujan. Kami melihat beberapa buah kapal melintasi kami dan kami melambai-lambai ke arah mereka, tetapi mereka berlalu begitu sahaja.
Kami putus asa dan keletihan. Tiba-tiba pada malam ke tujuh kami mendarat di satun tempat. Kami tidak tahu dimana tempatnya sehinggalah polis Malaysia datang mengambil dan dihantar ke Pulau Bidong. Kini saya fikir hasrat saya akan menjadi kenyataan. Saya tinggal di Bidong selama sembilan bulan, kemudian saya ke Australia dengan bantuan abang saya. Saya tiba di Australia pada musim bunga. Saya berasa sangat ganjil ketika menaiki bas dari Lapangan Terbang Melbourne ke hotel Midway. Saya melihat banyak perkara termasuklah pengangkutan, rumah dan bangunan serta kehidupan di sini yang jauh berbeza dari negara saya. Di sini terdapat banyak taman-taman bunga yang cantik. Saya mula belajar cara hidup di Auatralia.
Saya sangat khuatir tentang bagaimana saya akan menghadapim kehidupan di sini. Saya juga merasakan sedikit sukar memperolehi pekerjaan disini kerana saya sangat lemah dalam Bahasa Inggeris. Kerana masalah Bahasa ini saya kerapkali terkenangkan kampungb halaman.
Saya tinggal di asrama Midway lebih kurang sebulan. Selepas kawan saya mencarikan kerja untuk saya saya pun berpindah. Saya bekerja di kilang membuat barangan perhiasan kerana sebelum ini saya juga ada pengalaman ini sewaktu di Vietnam. Saya rasa sedikit gembira.
Saya b ekerja di kilang Melbourne selama tiga tahun. Banyak perkara menarik yang saya pelajari sepanjang tempoh itu. Pada tahun 1999 saya berpindah ke Sydney kerana cuaca di Melbourne tidak sesuai dengan isteri dan anak-anak saya. Mereka selalu sakit. Anak-anak saya juga suka tinggal di Sydney dan mereka juga dapat bersekolah dengan baik.Saya berasa sungguh bertuah berada di Australia, begitu juga dengan penduduk negara ini yang dapat menjalani kehidupan dengan baik”.
Beginilah cerita bapa saya , beliau menyatakan Austaralia adalah negara keduanya dan beliau juga tidak melupakan Vietnam. Dia juga memberitahu saya bahawa saya sungguh bertuah kerana dilahirkan di sini.kebanyakan kanak-kanak di Vietnam tidak dapat bersekolah dan terpaksa bekerja keras kerana mereka miskin.
Sekarang saya belajar Bahasa Vietnam setiap Sabtu.Saya dilahirkan di sini dan tidak begitu mengetahui tentang Vietnam. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru saya , bila saya datang ke kelas ini saya sentiasa mengingati asal usul saya.
Pengarang : Vuong Thanh Loc

Tiada ulasan: