Jumaat, 5 Mac 2010

Rayuan

RM10,000 jika temui abang saya - Le Nhung

Bui Ti Le Nhung (tengah) bersama suaminya, Vinh Van Ninh (kanan) dan Michael Chong menunjukkan gambar Van Quy pada sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 4 Mac - Seorang wanita kelahiran Vietnam yang menjadi warga Australia menawarkan ganjaran wang tunai RM10,000 kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat mengenai abang kandungnya yang kini gagal dikesan dan dikatakan pernah berada di negara ini pada 1979.

Wanita tersebut, Bui Ti Le Nhung, 53, ingin mencari abangnya, Bui Van Quy @ Nguyen Anh Tuan yang dikatakan melarikan diri dari Vietnam menaiki sebuah bot pada 4 Januari 1979 setelah mengingkari arahan untuk menyertai tentera komunis di negara berkenaan ketika itu.

Bot yang membawa kira-kira 120 penumpang itu dipercayai menuju ke Cherating, Kuantan, Pahang. Ketika meninggalkan Vietnam, Van Quy berusia 24 tahun.

Menurut Le Nhung, walaupun dia kini hidup bahagia di Adelaide, Australia bersama suami dan tiga orang anaknya, kehilangan abangnya itu amat dirasai kerana dia merupakan satu-satunya ahli keluarga yang masih gagal dikesan untuk sekian lama.

Ibu bapa yang masih hidup dan berusia 81 dan 83 tahun serta tiga lagi adik beradiknya juga telah berhijrah ke Australia dan menetap di negara itu sejak awal tahun 1980-an.

Le Nhung bersama suaminya, Vinh Van Ninh, 58, sanggup datang ke Malaysia pada 5 Februari lalu untuk mencari abang kandungnya tetapi sehingga hari ini masih tidak berhasil.

"Walaupun tidak tahu hidup mati abang saya, kami masih tidak berputus asa dan akan cuba menjejakinya selagi boleh.

"Saya dengan rendah diri meminta rakyat Malaysia, bantulah kami, seandainya maklumat yang anda berikan boleh membawa kepada penyatuan keluarga kami, ada sedikit ganjaran untuk anda," kata pasangan itu yang akan berlepas pulang ke Australia pada 11 Mac ini.

Kegagalan untuk menjejaki Van Quy di beberapa buah negeri di Semenanjung mendorong pasangan itu mendapatkan bantuan Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA yang diketuai Datuk Michael Chong.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Van Quy (gambar) boleh menyalurkannya kepada Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di talian 03-21618044 atau telefon bimbit Le Nhung 014-6210911 atau 0061884496608 (Australia)