Isnin, 28 Februari 2011

Makanan

Makanan yang ada sekarang berbanding tigav puluh tahun dulu memang amat jauhnya. Hot Dog, Burger, Nasi tomato,pizza jauh sekali. Apa yang popular pada masa itu kalau sarapan pagi ialah lempeng debok dan jemput-jemput, tidakpun pisang rebus atau ubi rebus cicak kelapa kukur terutamanya musim hujan, kadang-kadang ada juga dibuat nasi goreng dicampur ikan yang dihancurkan.tapi syukurlah kerana ada orang lain yang tidak makan apa-apa pun. Minuuman yang paling popular ialah teh o dan juga kopi o. Pada waktu tengahari pula biasanya nasi dan ikan singgang atau ikan gulai dengan rempah ratus paling minima,sayur lemak kampung atau sayur air kadang-kadang ikan goreng. Rempah ratus yang paling popular pula ialah rempah yang dalam kertas cap ikan, ayam, udang dan kambing. Inilah satu-satunya rempah yang masih ada hingga kuni. Untuk kicap cap budak terbang rasanya dah tidak wujud lagi. Untuk merasai gulai ayam dan daging memang jarang-jarang sekali ,kalau dapat makan ayam dan daging pun hanyalah pada waktu kenduri kendara atau majlis-majlis tertentu sahaja.Itulah salah satu faktor mengapa kalau dahulu kanak-kanak dan orang dewasa suka pergi kenduri kendara kerana akan mendapat makanan yang istimewa disamping menghubungkan silaturahhim. Pada masa kini kenduri kendara dilihat lebih kepada hubungan silaturrahim dan mengambil hati sahabat handai dan keluarga berbanding untuk menjamu selera kerana apa yang ada ditempat kenduri kendara telah tersedia atau mampu di sediakan di rumah.

Ahad, 27 Februari 2011

Bertanam Padi

Boleh dikatakan semua penduduk kampung aku pada masa dahulu bertanam padi. Ada yang mempunyai tanah sendiri dan ada yang menyewa dengan orang lain. Ayah aku ada tanah sendiri di Terap dan turut menyewa tanah orang yang disebut Sejik Buruk ( Masjid Buruk). Sebagai anak tani aku turut serta ayah dan emak berkubang ketika mengusahakan tanah berkenaan, biasanya dengan berseluar pendek tanpa baju. Aku biasa pulang ke rumah dengan tubuh dipenuhi selut dan selalu di istilahkan sebagai "nampak mata dua butir". Proses bertanam padi meliputi merengam benih, menabur benih, mencabut semai, mencedong, dan mengetam. Manakala proses mengusahakan tanah termasuklah menerangkan tapak semaian, menakung air, membuat batas, menenggala sawah dan sebagainya. Banyak istilah yang ada pada masa itu seperti mencabut semai, unting, ketaman, gemai, nduh, tenggala dan sebagainya. Dan aku masik berkeempatan melihat ayah menggala tanah menggunakan kerbau. Ada satu lagi istilah dalam proses menggembur tanah yang dipanggil "menjam". Dalam proses memjam ini satu kumpulan lembu terdiri daripada 10 hingga 20 ekor dihalau dalam satu petak sawah untuk beberapa ketika agar tapak kaki lembu itu akan melumatkan tanah. Yang pastinya lembu lembu itu kebingungan kerana tak tahu apa maksud sebenarnya perbuatan dan kehendak manusia menyuruh dan mengherdik mereka , kadang-kadang dipukul tanpa belas kasihan agar mereka berpusing-pusing dalam kumpulan pada sesuatu tempat.

Rabu, 23 Februari 2011

Telaga

Masa kecil dulu telaga merupakan satu-satunya sumber air untuk penduduk kampung aku.Terdapat beberapa buah telaga yang popular pada masa itu.Yang tersohor ialah telaga Mok Ngoh dan telaga Tok Long. Kebetulannya di tepi telaga itu terdapat pokok jambu arang yang semacam tidak lupa untuk berbuah pada musimnya. Dari telaga inilah kaum ibu dan gadis2 kampung aku pada masa itu mengangkut air telaga. Kaum bapa pula akan membimbit baldi apabila hendak mandi dan tidak lupa juga membawa satu baldi air ke rumah. Biasanya telaga juga menjadi tempat membasuh pakaian oleh kaum ibu atau kaum yang bakal menjadi ibu. Kerapkali juga mereka akan membasuh dua atau tiga orang serentak sambil "bermesyuarat" berkaitan hal ehwal keluarga dan masalah dunia. Ada juga ketika nya kaum lelaki menunggu atau memerhati dari jauh bimbang isteri mereka diusik oleh lelaki lain. Tidak kurang juga kaum isteri yang memerhatikan suami mereka kerana dikhuatiri ada gadis-gadis akan mengurat atau menggoda suami mereka. Maklumlah pada ketika ini mereka mandi beramai-ramai dalam keadaan open air.Kalau peraih ikan lalu pun mereka selamba saja pergi membeli ikan dalam keadaan berkembam dan kain masih basah !!!!

Selasa, 22 Februari 2011

Menziarahi Keluarga

Hampir setiap tahun ibu akan membawa aku dan adik beradik lain melawat keluarga "waris-warah" di Kampung Gemuruh yang jauhnya lebih kurang 6 km dari kampung aku. Kebiasaannya kami akan berjalan kaki melalui denai yang dikelilingi oleh hutan, kebun getah, sawah padi dan semak samun.Perjalanan begitu sukar, kadang kala aku berjalan kaki sendiri dan kadangkala didukung oleh ibu dan kakak-kakak yang lain. Pernah sekali kami ditimpa hujan ribut dan petir dalam perjalanan berkenaan menyebabkan kami ketakutan dan basah kuyup.Biasanya kami akan bermalam satu atau dua hari sebelum pulang. Jarang-jarang sekali kami akan pergi menaiki bas dari kampung aku ke Pekan Tepoh, Kemudian menaiki Bas Jerteh ke Kg. Gemuruh. Sehingga kini aku tidak memahami kenapa ibu sering membawa kami ke sana sedangkan mereka jarang benar melawat rumah kami. Kalau benarpun andaian aku kemungkinan ibu ingin melawat sedikit harta pusakanya yang masih ada di Kampung Gemuruh. Wallahu A'lam.masa

Isnin, 21 Februari 2011

Basikal Baru

Hadiah yang paling berharga yang diterima masa kecik dulu ialah sebuah basikal mainan. Ketika itu arwah ayah pulang dari bandar dan membawa basikal berkenaan . Kalau istilah pergi ke bandar kuala terengganu arwah ayah sering menggunakan istilah hilir atau disebut "ilir". Basikal tersebut berkerangka besi dan mempunyai satu tempat duduk manakala pada bahagian belakang pula mempunyai dua tayar dan ada tempat penumpang. Rasanya agak lama juga basikal berkenaan mampu bertahan, mungkin selama tiga tahun atau lebih. Dan peristiwa ini berlaku sewaktu aku berumur 3 tahun , kerana aku masih ingat ayah membeli basikal ini sewaktu adik lelaki aku baru dilahirkan iaitu pada tahun 1973.

Ahad, 20 Februari 2011

Zaman Kecil Dulu-Dulu

Mengimbau kembali zaman kecil-kecil dulu pasti mengembalikan nostalgia yang melucukan , menggembirakan menyayat hati yang telah menyimpan seribu rahsia dan kenangan. Ada yang kata apa dikenang kisah lalu. Kalau difikir-fikirkan semula tidak salah mengenang semula setidak-tidaknya buat tatapan anak-anak sendiri mungkin generasi kini dan akan datang yang sangat jauh bezanya. Cuma dimana titik mula masa kecil itu tidak pasti. Kerana kita tidak bisa mengingati bila titik mulanya kita ingat apa yang berlaku setelah kita di lahirkan. Bagi aku peristiwa paling awal yang dingati sejak di lahirkan ialah aku dikendong oleh ibu di satu mengharungi anak sungai ke satu tempat yang mempunyai pondok kecil di dalam kebun kelapa. Ayah sedang megupas buah kelapa manakala di sebelahnya terdapat asap hasil pembakaran sabut kelapa sehingga kini aku tidak pasti di mana tempat itu kerana umurku pada masa itu sekitar satu tahun ataupun kurang dari itu !!!