Ahad, 27 Februari 2011

Bertanam Padi

Boleh dikatakan semua penduduk kampung aku pada masa dahulu bertanam padi. Ada yang mempunyai tanah sendiri dan ada yang menyewa dengan orang lain. Ayah aku ada tanah sendiri di Terap dan turut menyewa tanah orang yang disebut Sejik Buruk ( Masjid Buruk). Sebagai anak tani aku turut serta ayah dan emak berkubang ketika mengusahakan tanah berkenaan, biasanya dengan berseluar pendek tanpa baju. Aku biasa pulang ke rumah dengan tubuh dipenuhi selut dan selalu di istilahkan sebagai "nampak mata dua butir". Proses bertanam padi meliputi merengam benih, menabur benih, mencabut semai, mencedong, dan mengetam. Manakala proses mengusahakan tanah termasuklah menerangkan tapak semaian, menakung air, membuat batas, menenggala sawah dan sebagainya. Banyak istilah yang ada pada masa itu seperti mencabut semai, unting, ketaman, gemai, nduh, tenggala dan sebagainya. Dan aku masik berkeempatan melihat ayah menggala tanah menggunakan kerbau. Ada satu lagi istilah dalam proses menggembur tanah yang dipanggil "menjam". Dalam proses memjam ini satu kumpulan lembu terdiri daripada 10 hingga 20 ekor dihalau dalam satu petak sawah untuk beberapa ketika agar tapak kaki lembu itu akan melumatkan tanah. Yang pastinya lembu lembu itu kebingungan kerana tak tahu apa maksud sebenarnya perbuatan dan kehendak manusia menyuruh dan mengherdik mereka , kadang-kadang dipukul tanpa belas kasihan agar mereka berpusing-pusing dalam kumpulan pada sesuatu tempat.

Tiada ulasan: