Isnin, 17 November 2008

Kisah Bidong 10

Sebanyak RM1 Juta Proses Mencantikkan Kubur Pelarian Vietnam
24 April, 2006 15:48 PM
KUALA TERENGGANU, 24 April (Bernama) -- Arkib Orang Bot Vietnam (VNBP) akan membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk mencantikkan dan memulihara kubur pelarian Vietnam yang berselerak di seluruh Malaysia, kata Pengarahnya Dong Tran.

Beliau berkata terdapat lebih 1,000 kubur pelarian Vietnam di seluruh Malaysia dan hampir separuh daripadanya terletak di Pulau Bidong di negeri ini yang pernah menampung 250,000 orang pelarian pada suatu ketika dulu.

Kerja-kerja mencantikkan kubur pelarian Vietnam yang terbiar itu akan dimulakan pada Jun ini dan dijangka siap dalam masa lima bulan, katanya kepada pemberita selepas mengetuai lawatan sekumpulan 20 orang warga Vietnam menziarah kubur waris mereka yang mati lemas di perairan Terengganu pada 1978 dan dikebumikan di Jirat Cina, Jalan Pusara.

Seramai 108 orang pelarian Vietnam telah dikebumikan di tanah perkuburan itu.

Menurut Dong, 56, yang pernah menjadi pelarian dan tinggal di Pulau Bidong, Terengganu, berkata kubur-kubur pelarian Vietnam di negara ini terdapat di Pulau Bidong, Tanjung Jara, Merang, Pulau Tenggol kesemuanya di Terengganu, Pulau Tengah di Mersing, Johor, Bachok dan Cherang Ruku, Pasir Putih, Kelantan.

Beliau berkata setiap tahun, keluarga Vietnam yang tinggal di Australia mengunjungi kubur waris di tanah perkuburan China di sini dan ini merupakan lawatan kedua pada tahun ini.

Dong berkata sebuah badan kebajikan di Australia juga telah memberikan sumbangan kewangan kira-kira RM20,000 untuk proses mencantikkan kubur pelarian Vietnam di jirat Cina itu.

Dong yang berhijrah dari Pulau Bidong ke Australia 1990 berkata juga, beliau akan mengunjungi Johor dan Singapura sebelum berlepas pulang ke Australia pada minggu depan.

Tiada ulasan: