Selasa, 18 November 2008

Kisah Bidong 12

Kem Pelarian Galang, Indonesia
Pada tahun 1975 apabila Vietnam Utara menyerang Saigon ibu negara Vietam Selatan kebanyakan penghuninya berputus asa untuk tinggal di negara mereka sendiri lalu merancang untuk melarikan diri dan mencari perlindungan di negara lain seperti Malaysia, Hong Kong. Indonesia dan ada juga yang ke Australia. Mereka meninggalkan negara atas alasan mengelak daripada menjadi askar kerahan, dihukum sebagai pesalah politik, atau dihantar ke kem-kem “pemulihan” kerana bekerjasama dengan tentera Amerika atau kerajaan terdahulu. Mereka dan ahli keluarga yang pernah terlibat dalam mempertahankan Vietnam selatan dikehendaki mendaftarkan diri dengan kerajaan baru. Sebahagian yang lain pula menolak fahaman komunis yang dibawa rejim baru itu dimana “Uncle Ho” memaksa rakyatnya mentaati kerajaannya mengatasi segala termasuklah keluarganya sendiri. Ini bermakna kerajaan bertindak secara kejam dan rakyat tidak mampu membina kehidupan sendiri serta menghalang peluang anak-anak mereka hidup secara penuh kebebasan.
Nhat Thien menulis sebuah buku bagaimana kisah pelarian Vietnam ke Malaysia pada 19 Oktober 1979. Sekarang beliau menetap di Carlifornia USA. Katanya “Kumpulan kami terdiri daripada 81 orang, menjadi seolah-olah satu keluarga walaupun sebelum ini kami tidak mengenali. Kami menjadi satu kumpulan yang kompleks terdiri daripada artis, penulis, penyelidik sains,profesor universiti, engineer pertanian sehinggalah kepada paderi dan rahib. Dalam kalangan kami ada juga pegawai-pegawai dari pelbagai pangkat yang melarikan diri dari kem-kem pemulihan “re-education camp”. Kumpulan yang terbesar ialah pelajar – pelajar dari Universiti Saigon untuk mengelakkan diri mereka dari menjadi askar kerahan.Penghijrahan keluar semakin menjadi-jadi.
Banyak sekali kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku dalam pelayaran. Bot yang mereka naiki kebanyakannya adalah hanya sesuai untuk sungai-sungai di kawasan delta tidaknya untuk laut yang luas yang mengambil masa yang lama serta ombak laut yang bergelora. Ada pendapat yang mengatakan dianggarkan 100,000 hingga 200,000 pelarian Vietnam mati di laut dalam masa empat tahun yang kebanyakannya akibat lemas. Pasukan Palang Merah Antarabangsa menganggarkan separuh daripada pelarian yang melarikan diri dengan bot Vietnam mati akibat serangan lanun di Teluk Thailand.
Luu Glenister berasal dari sebuah kampung yang terletak beberapa ratus kilometer dari Bandar Saigon. Dia menceritakan “Kehidupan berubah terus bermula pada tahun 1975”, Dia menulis mengenai keluarganya ,” Perubahan yang berlaku amat ketara sekali, kita tidak boleh mempercayai satu dengan yang lain, tiada kebebasan untuk bercakap, tidak seorang pun dibenarkan mengkritik dasar kerajaan, kita tidak boleh tinggal di rumah orang lain terutama pada waktu malam, tidak boleh mengadakan majlis-majlis kecuali memohon dengan pihak berkuasa dan membayar cukai terlebih dahulu. Kita juga tidak boleh melangkau daerah lain tanpa kebenaran pihak berkuasa dan membayar cukai atau rasuah. Sekiranya kita berjaya mengusahakan satu-satu perniagaan akhirnya perniagaan itu akan dimilik negarakan. Setiap orang dikehendaki mempunyai gambar “Ho Chi Minh”, begitu juga gambar Ho hendaklah digantung di ruang tamu setiap rumah. Sekiranya gagal berbuat demikian kita akan didenda atau dipukul kadang-kadang sehingga mati”.
Penduduk kampung kami melarikan diri secara serentak.” Sebaik sahaja menjelang malam dan hari menjadi gelap kami meninggalkan rumah lalu berjalan cepat-cepat melalui sawah padi dengan dibantu penduduk tempatan. Berhenti dan meniarap, bersembunyi di tempat tertentu sementara menunggu orang lain. Kami tidak dibenarkan bercakap sama sekali. Setelah beberapa kali tersungkur ke dalam lopak, serta berpindah-pindah maka sampailah kami ke pantai. Untuk sampai ke bot pula kami terpaksa mengharungi ombak sejauh lima puluh meter. Saya kehilangan semua barang yang saya bawa akibat dihentam ombak ketika menuju ke bot.
Lu bolehlah dianggap bernasib baik kerana jika terdapat sedikit sahaja ribut, bot mereka akan karam.
Ribut merupakan musuh yang kedua bagi orang-orang pelarian. Kisah mengenai nelayan-nelayan Thailand yang selalu merampas barang-barang berharga orang-orang pelarian selalu didengar. Nhat Tien menceritakan terdapat bot-bot yang diserang, dilanggar hingga karam setelah merampas barang-barang berharga dan merogol wanita dan kanak-kanak perempuan. Sebuah bot pernah diserang lanun sebanyak 47 kali. Setiap kali serangan itu hanya menyaksikan peristiwa yang sama, mereka memaksa pelarian ke dalam bot mereka , mengasingkan kaum lelaki dan kaum perempuan, biasanya kaum lelaki diletakkan di dalam kotak menyimpan air batu, kemudian naik ke dalam bot pelarian dan menyelongkar bot untuk mencari barang berharga dan menyepahkannya kadangkala merosakkan bot sehingga karam dan merogol wanita dan kanak-kanak sehinggalah yang berumur 10 tahun.
Sekali peristiwa sebaik sahaja mendarat, kaum lelaki cuba menyembunyikan kaum wanita untuk mengelak menjadi mangsa rogol. Peristiwa ngeri ini berlaku di sebuah pulau di perairan Malaysia sebelum diselamatkan oleh UNCHR. Pada suatu senja satu kumpulan nelayan Thailand bersenjatakan raifel , penukul, pisau dan lampu picit datang dan menyelongkar barang-barang kami. Kemudian mereka pergi setelah mengambil pakaian yang kami bawa. Setelah itu kumpulan yang lain pula datang dan menyelongkar barang-barang termasuk yang ada pada tubuh kami, apabila selesai mereka mengarahkan kaum lelaki ke dalam gua dan mengawalnya dengan senapang yang mereka bawa. Kemudian mereka mula merogol kaum wanita. Apa yang didengar hanyalah rintihan kaum wanita serta tangisan kanak-kanak yang terpisah daripada dukungan ibu mereka. Kami kaum lelaki tidak mampu berbuat apa-apa di muncung senapang mereka kecuali menahan kemarahan dan kesedihan di dalam dada. Itulah sahaja cara untuk kami menyelamatkan nyawa. Peristiwa ini berterusan sehingga subuh. Kaum wanita lemah dan longlai serta terbaring di atas pasir sambil menangis teresak-esak , manakala sebahagiannya pula meratap hiba dalam pelukan suami dan keluarga mereka.
Kaum wanita menjadi mangsa utama kekejaman lanun ini namun kaum lelaki dan kanak-kanak juga tidak berkecuali. Sebahagian daripada kami dihiris jika tidak menunjukkan dimana tempat barang-barang berharga disembunyikan. Satu ketika seorang lelaki telah dikapak di dahinya kemudiannya dicampakkan ke kawasan tepi pulau yang berbatu kerana melindungi keluargannya, nasibnya agak baik kerana dia tidak meninggal di situ. Seorang lelaki yang memakai gigi emas pula dicungkil dengan pisau sehingga berdarah mulutnya.
Menurut Nhat Tien lagi , satu ketika orang-orang Vietnam telah mendarat di sebuah pulau. Mereka dikerumuni hampir 100 orang penduduk tempatan. Wanita tua datang dengan membawa raga yang berisi kueh dan mengagihkan kepada kanak-kanak. Selepas itu kaum lelaki yang lebih separuh berada di situ membariskan kaum wanita dan kanak-kanak perempuan dan menyuruh mereka mengangkat tangan , satu tangan masih lagi memegang kuih. Mereka meraba seluruh badan wanita kanak-kanak perempuan yang kelaparan serta hampir kebuluran itu sesuka hati mereka sahaja.

Tiada ulasan: