Khamis, 13 November 2008

Kisah Bidong 7

Sebuah Bot dan Satu Kebebasan
Dalam kegelapan malam yang sunyi lewat Oktober 1989 sebuah bot bergegas meninggalkan pelabuhan dan menuju ke Teluk Siam. Didalam bot terdapat lebih seratus orang yang sebahagiannya muram tetapi kebanyakannya agak ceria mengharapkan satu kehidupan yang lebih menjamin masa depan mereka di tanah asing. Walaupun merekia sedar yang mereka akan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang besar mereka masih lagi sanggup meninggalkan tanah air demi menyelamatkan diri daripada pemerintahan kuku besi rejim komunis di negara sendiri. Sinar suria yang muncul setelah semalaman belayar merupakan satu pagi yang sungguh indah bagi mereka. Bot yang mereka naiki bergerak dengan baik meredah ombak menyusuri Laut Cina Selatan. Kebanyakan mereka tahu yang pemergian kali ini mungkin pemergian terakhir dan tidak akan dapat lagi melihat kampung halaman mereka. Mereka telah membuat keputusan hidup atau mati mereka mesti harungi jua. Sebenarnya mereka tidak pasti ke manakah arah yang mereka akan tuju ?, Apakah mereka juga akan menghadapi lanun?, Apakah mereka dilanda oleh ribut taufan di lautan ?.
Pada hari ketiga awan hitam mula berkumpul di atas kepala mereka dan angin yang pada mulanya bertiup perlahan kini semakin kuat dan terus menjadi ribut. Ombak yang pada mulanya tenang kini bertukar mengganas dengan hempasan dan lambungan gelora serta bunyi yang sangat menggerunkan. Bot mereka terumbang ambing di tengah lautan tanpa arah. Tiada tanda-tanda tanah daratan apa yang kelihatan hanyalah langit yang berwarna hitam dikelilingi lautan yang kadangkala mengganas , serta teriakan, ritihan dan rayuan anak-anak kecil. Mereka menjadi tidak keruan lagi dan hampir berputus asa. Setelah beberapa ketika bekalan makanan dan minuman mereka habis. Jika bernasib baik mereka makan ikan mentah yang dipancing. Disini mereka selalu mendengar kanak-kanak meminta makanan tetapi ibubapa mereka cuma berdiam diri dan tidak boleh berbuat apa-apa. Kanak-kanak tidak memahami mengapakah mereka perlu mengharungi saat-saat yang begini getir serta tidak lagi kembali ke rumah mereka. Barangkali janji untuk mendapat hamburger yang begitu enak merupakan satu alasan yang sesuai diberikan mengapa mereka harus mengharungi situasi ini semua.
Seorang kanak-kanak dalam keadaan teresak-esak bertanya ibunya “ Bilakah kita akan pulang ?. “ tanpa menyedari bahawa rumah dan kampung halaman mereka telah dirampas oleh kerajaan Komunis. Setelah beminggu-minggu hampir setiap orang jatuh sakit dan lemah. Mereka terpaksa bermalam dalam keadaan yang sangat sejuk serta kepanasan pada siangnya. Kekuatan dan semangat mereka hampir pupus sama sekali. Mengapakah kebebasan sukar sekali dicari ? Dilaut juga bukanlah satu tempat yang aman bagi mereka.
Akhirnya setelah mengalami pelbagai keperitan di laut mereka menghampiri sebuah pulau iaitu Kokra di Teluk Siam dan tiga bot belayar menuju ke arah bot mereka. Orang-orang pelarian bersorak kerana terlalu gembira, dan kanak-kanak bergegas ke haluan bot mengharapkan secebis makanan setelah beberapa hari kebuluran. Tiba-tba harapan menggunung mereka untuk mendapat makanan berkecai sama sekali , apa yang mereka dapati ialah pisau yang terhunus dari lanun-lanun yang menghapiri bot mereka. Satu lagi malapetaka menunggu mereka. Lanun-lanun itu tanpa belas kasihan meyelongkar bot mereka merampas barang yang berharga , kaum lelaki dipukul dengan belantan atau ditikamnkemudiannya dihumbang ke laut. Wanita dan kanak-kanak perempuan dirogol dan disiksa dalam keadaan yang tidak dapat diggambarkan . Kemudian mereka mengikat bot itu lalu ditariknya dengan bot mereka yang mempunyai kuasa yang jauh lebih tinggi sehingga terbalik dan karam. Hanya seorang wanita yang berjaya menyelamatkan diri dari peristiwa ngeri ini dan menceritakan kisah ini. Beliau menceritakan “ Kebanyakan yang terbunuh itu ialah keluarga terdekat saya termasuk dua orang adik beradik perempuan dan seorang adik beradik lelaki saya. Manakala yang lain kebanyakannya adalah jiran-jiran saya yang saya kenali”.

Tiada ulasan: