Khamis, 13 November 2008

Kisah Bidong 3

Bertarikh 17 April 2005
Ketika Lawatan Semula Ke Pulau Redang
Lebih dua dekad yang lalu berlakunya satu era kehidupan dan bermula pula satu era kehidupan yang baru. Orang-orang Vietnam yang menjadi pelarian sentiasa menghadapi pelbagai ancaman dan mengharungi kehidupan yang tidak menentu. Selepas mengharungi lautan untuk mencari sebuah kehidupan yang baru dari tahun 1979 hingga 1987 mereka terpaksa pula tinggal di pondok yang dibuat dariipada guni atau plastik buangan sebagai tempat berteduh sebelum mendapat kerakyatan dari negara lain.
Pulau Bidong banyak menyaksikan kesengsaraan manusia setiap hari yang tiba dengan beberapa buah bot . Sekiranya bernasib baik mereka tinggal sekejap sahaja di sini tetapi kebanyakannya terpaksa tinggal selama tiga bulan hingga beberapa tahun. Disini juga menyipan beribu kisah bagaimana ibu atau bapa melihat didepan mata mereka sendiri anak gadis mereka di culik dan di rogol oleh lanun, anak-anak kecil mati kerana kehausan dan kelaparan sewaktu dalam pelayaran yang menggerikan. Dan di sini juga bermulanya langkah pertama dalam membina sebuah kehidupan yang baru.
Pulau Bidong boleh digambarkan sebagai sebuah pulau yang sungguh menarik dengan pokok hutan hujan yang menghijau, pantai berpasir yang menjadi tempat batu karang yang mengkagumkan serta hamparan Laut Cina Selatan yang berkilauan di kelilingnya . Tetapi sekiranya kita berkunjung ke Pulau Redang satu pemandangan yang agak menyedihkan berlaku. Bangkai-bangkai bot terbiar di gigi air. Disebalik pokok-pokok menjalar terdapat sebuah pondok hampir roboh yang satu ketika dahulu pernah menjadi tempat menginap salah seorang wanita yang mengikut rombongan kami. Tokong dan monumen yang ditinggalkan juga telah terlalu usang dikelilingi oleh lalang dan semak samun. Masa dan cuaca telah merubah segalanya. Apa yang menjadi kenangan hanyalah tapak sekolah, tapak hospital, tempat pengagihan air secara catuan dan tapak stor menyimpan makanan dan peralatan pihak berkuasa sahaja, Tempat yang satu ketika dahulu dihuni oleh begitu ramai tikus kini bertukar menjadi sebuah bandar hantu.
Pulau Bidong mula dibangunkan pada Julai 1978 untuk menempatkan Pelarian Vietnam oleh Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Orang Pelarian (UNCHR) sebelum mereka mendapat perlindungan dari negara lain. Pada tahun pertama Pulau Bidong menerima 453 buah bot pelarian Vietnam dengan anggaran pelarian seramai 52,000 orang. Pada tahun 1979 , 10,000 orang pelarian Vietnam telah ditempatkan semula di negara lain manakala lebih 40,000 yang tinggal ditempatkan di satu kawasan kurang daripada satu kilometer persegi. Perintah berkurung dilaksanakan dari pukul 11. 30 malam hingga pukul 6.30 pagi. Orang-orang pelarian ini dikawal oleh pasukan keselamata Malaysia yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasukan sukarelawan ( RELA). Ia ditutup pada tahun 1991 setelah 13 tahun beroperasi apabila pelarian terakhir meninggalkan pulau itu.
Mengikut Bruce Grant dalam bukunya The Boat People, An Age Investigation Pulau Bidong merupakan pulau yang tidak berpenghuni sehinggalah pertengahan tahun 1978 ianya menjadi satu kawasan yang amat sesak atau “kawasan setinggan” di persisir pantai Terengganu. Disinilah menjadi tempat tinggal orang-orang hanyut Vietnam , menantikan hari-hari untuk ditemuduga oleh delegasi dari negara lain untuk ditempatkan semula , disini juga lah tempat dimana mereka membocorkan bot mereka agar mereka tidak dihalau semula ke laut oleh pihak berkuasa.

Cerita daripada Orang-Orang Pelarian
Cerita 1
Doktor Huynh kim merupakan seorang pensyarah Sains Politik di Australian National Universiti Canberra ,Australia dan berumur 27 tahun. Beliau telah menulis sebuah buku yang bertajuk “ “Personal , Political Biograpy of The South Vietnamese People’s Flight From The Communist” berkisar kepada kisah keluarganya iaitu ayahnya Thiet , Ibunya Van dan dirinya sendiri. Seperti yang dicatatkan mengikut cerita ibunya Van “ bertuahlah kamu berada disini, ibu tidak dapat gambarkan betapa cemas dan beratnya perasaan ditanggung untuk sampai ke sini”. Berdasarkan khabar angin yang diceritakan dari mulut ke mulut kerajaan baru komunis akan menjadikan anak-anak lelaki sebagai spy untuk mengintip ibubapa mereka dan pelbagai cerita yang menakutkan lagi. Bapa Dr kim iaitu Thiet, yang bekerja dengan kerajaan terdahulu sebagai pegawai elektrik dan ibunya memutuskan untuk membawa keluar dua anaknya kim dan Thac dari Vietnam.
Mereka bersama sama dengan lebih kurang 500 orang yang lain menaiki bot kayu KG1170 yang panjangnya 20 meter dan lebar 4 meter dengan bayaran tertentu. Pada masa itu Kim berusia dua tahun. Mereka tiba di Pulau Bidong selepas mengharungi Laut Cina Selatan selama 28 hari dalam keadaan yang sangat ngeri dan mencemaskan. Kira-kira 2 hingga 3 dozen penumpang bot berhimpit-himpit di dalam kabin yang tidak lebih besar daripada dapur rumah pangsa mereka di Vietnam. Oleh kerana Kim merupakan orang yang paling muda maka beliau dan ibunya sentiasa dibenarkan berada di dalam kabin. Kim ditimpa sakit cirit birit yang teruk berkemungkinan disebabkan manusia terlalu sesak dan juga dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Sepanjang perjalanan tersebut bot mereka beberapa kali dilanda ribut dan bot mereka menjadi terumbang ambing umpama layang-layang putus talinya.
Disamping menjaga Kim di dalam kabin ibu Kim juga terpaksa meninjau abangnya Thuc berumur empat tahun yang berada di luar.
Menurut Thiet iaitu bapa Kim pula, pada suatu hari bot mereka telah didatangi oleh lanun , dan merampas barang-barang mereka, mereka tidak melawan , jika salah seorang daripada mereka melawan atau ingkar perintah lanun tersebut beerti maut. Lanun tersebut telah memberi amaran jika seorang ingkar bot mereka akan dirempuh dan semua akan karam.
Sewaktu dahaga Van cuma menghidu sahaja bekalan air yang ada kerana beliau menyimpan air itu untuk anaknya. Kadang-kadang Van menyanyi-nyanyi untuk menghiburkan Kim dan dirinya sendiri. Sesungguhnya kehendaknya yang begitu kuat agar anaknya terus hidup memberi satu semangat yang tinggi walaupun berada dalam keadaan yang sangat dhaif , letih,lesu dalam keadaan penumpang bot yang lain berputus asa.
Akhirnya mereka mendarat di sebuah pulau di Malaysia dan kemudiannya dipindahkan ke Pulau Bidong. Mereka mendirikan sebuah pondok daripada bahan buangan dan menjadikan guni dan plastik sebagai atap dan dinding. Abang Kim Thac pula jatuh sakit dan dihantar ke hospital terapung iaitu sebuah kapal Perancis “Limiree” yang berlabuh di tepi Pulau Redang. Hospitan ini merawat pesakit yang tenat akibat terlalu lama hanyut , wanita-wanita yang dirogol secara kejam oleh lanun atau pelarian yang berada dalam keadaan nazak.
Ibu bapa Kim beberapa kali berfikir dan berbincang mereka akan membunuh diri mereka jika kedua-dua anak mereka mati. Apabila sampai di sini mereka juga terfikir apakah sebenarnya kerajaan komunis Vietnam begitu kejam dan perlu ditukarkan dengan nyawa anak mereka untuk datang ke sini ?” Apakah hidup mereka beerti tanpa anak-anak ?”.
Hari ini di pantai Pulau Bidong, Van memakai topi yang sama ketika beliau memakainya sewaktu ditemuduga oleh delegasi Australia dulu. Dia juga meminjamkan topi ini kepada kawannya untuk tujuan yang sama. Dia dapat menunjukkan dengan tepatnya tempat dimana dia memandikan Kim yang sangat kurus pada masa dulu. Bagi bapa Kim pula dia tidak dapat mengelakkan dirinya daripada menitiskan airmata apabila berada di sini pada hari ini.


Cerita 2
Ketika bot terumbang ambing di lambung ombak Laut Cina Selatan , Nguyen Thi Than meninjau-ninjau ke hadapan dengan wajah yang sungguh serius. 21 tahun yang lalu beliau telah datang ke situ bersama suaminya serta anak-anaknya yang berumur empat, tujuh , sepuluh dan dua belas tahun. Mereka menaiki bot selama tiga hari. Sewaktu melintasi Teluk Siam anaknya telah terkena demam panas, muntah-muntah dan meninggal dunia. “ ketika sakit anaknya ada membisikkan kepadanya bahawa beliau akan mati”. Than meminta kepada tekong bot agar anaknya di bawa ke pantai untuk disemadikan tetapi tidak dapat ditunaikan. Akhirnya penumpang bot telah menjumpai sebuah tong lalu mayat anak itu dihanyutkan ke dalam tong itu.

Cerita 3
Andrew seorang penganalisis komputer yang datang dari Melbourne yang kini berusia 34 tahun membawa bersama kamera yang akan merakamkan segala peristiwa di Pulau Bidong menceritakan .“ Saya datang ke sini sewaktu berumur 11 tahun pada 1981 dan tinggal selama tiga bulan sebelum dibawa ke Australia. Pada satu malam kami sekeluarga meninggalkan rumah untuk ke tempat yang tidak diketahui. Kakak saya memberitahu di sana nanti saya akan diberikan basikal”.
Andrew dan bersama tujuh orang adik beradiknya bersembunyi di sebuah pondok di pinggir Saigon selama seminggu bersama 92 orang lain sebelum di arah berjalan kaki sejauh lima kilometer sepanjang sungai. Mereka menaiki bot yang berukuran 2.5 meter lebar dan 13 meter panjang. Mereka belayar selama empat hari. Pada hari kelima mereka kehabisan makanan, minuman dan minyak menyebabkan mereka kelaparan dan kehausan. Bot mereka hanyut. Akhirnya mereka telah di selamatkan sebuah kapal pengangkut minyak Inggeris yang melalui kawasan itu. Pihak kapal telah menghubungi Singapura untuk menghantar orang-orang pelarian itu tetapi ditolak. Mereka telah di bawa Ke Pulau Bidong. Ketika diselamatkan Andrew bercerita “anak-anak kapal menghulurkan tali kepada kami untuk naik ke kapal mereka. Kami berebut-rebut memanjat kapal itu. Apabila berada di atas kapal kami melihat bot kami terlalu kecil. Sebaik sahaja tali pengikat kapal dibuka kapal itu tenggelam.” Andrew dan adik beradiknya disatukan semula dengan ibu bapanya setelah berada di Australia selama dua tahun.

Cerita 4
Derrick Nguyen berdiri ditepi satu tebing curam sambil merenung ke arah air tempat dimana satu ketika dahulu dia melihat delegasi negara lain mendarat di jeti dan keadaan menjadi riuh rendah dengan teriakan dan sorakan kawan-kawanya. Selepas itu mereka berkumpul untuk menunggu giliran ditemuduga. Berhampiran monumen ini jugala Derrick termenung dan memikirkan nasibnya pada masa akan datang. Satu ketika dia menyaksikan rakan-rakanya dibawa ke daratan Malaysia setelah diberi kebenaran untuk pergi ke negara lain. “ Apabila kawan-kawan saya dibawa pergi dari sinilah saya berlari-lari dan melambai-lambai kepada mereka sehingga mereka tidak lagi nampak di mata. Saya merasa gembira apabila mengenangkan nasib mereka tetapi sedih dan menangis mengenangkan nasib saya tidak terpilih bersama mereka “.

Tiada ulasan: