Khamis, 13 November 2008

Kisah Bidong 5

Inilah merupakan kali pertama saya mendedahkan kesengsaraan yang dihadapi oleh orang-orang hanyut Vietnam di Pulau Bidong. Walau pun umur saya ketika itu belum mencapai 10 tahun tetapi saya masih ingat bagaimana penghuni Kem Pelarian Sungai Besi merenung dunia luar melalui celah-celah dawai besi sebelum kem itu ditutup. Baru-baru ini (2005) saya berpeluang melawat sebuah Kem pelarian yang terkenal iaitu Pulau Bidong bersama program keluarga angkat yang dianjurkan di Terengganu.
Pulau Bidong menjadi terkenal apabila berpuluh-puluh ribu pelarian Vietnam yang lari daripada peperangan membanjiri pulau ini pada tahun 1970 an (1978). Pada asalnya ianya merupakan pulau yang begitu cantik dan tidak berpenghuni. Adalah dianggarkan lebih 800,000 pelarian Vietnam meninggalkan negara mereka dan disini merupakan tempat yang paling popular menjadi destinasi mereka. Hampir suku daripada mereka datang atau dihantar ke sini apabila mereka mendarat di pantai timur semenanjung Malaysia. Terdapat sebuah filem yang bertajuk “Turttle Beach” yang dibintangi oleh Joan Chen menjadi agak kontrovesi kerana sebenarnya nelayan tempatan Malaysia tidak pernah membunuh pelarian Vietnam. Demi menjaga keselamatan pelarian Vietnam kerajaan Malaysia dengan kerjasama UNCHR pada masa itu telah mewartakan Pulau Bidong sebagai kawasan larangan.
Walaupun kapasiti Pulau Bidong hanyalah untuk 4500 orang pelarian , pernah satu ketika yang menjadi kemuncaknya ia menempatkan lebih 20,000 orang-orang pelarian Vietnam. Pulau Bidong menjadi tempat transit dan rumah kedua bagi orang-orang pelarian sebelum mereka diterima oleh negara lain seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan beberapa negara Eropah yang lain. Proses untuk pemindahan orang-orang pelarian ini juga memakan masa. Sekiranya mereka tidak diterima oleh mana-mana negara mereka akan dihantar ke Kem Sungai Besi dan akhirnya dihantar pulang ke Vietnam secara paksa atau sukarela.
Kebanyakan mereka datang ke sini sehelai sepinggang, mereka makan apa sahaja yang dijumpai di pulau ini termasuklah tupai, tikus, monyet, biawak,katak, ular dan lain-lain lagi disamping bekalan makanan yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia dan UNCHR ( Suruhan Jaya Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Hal Ehwal Orang-orang Pelarian). Bagi memastikan orang-orang pelarian mendapat bantuan kemanusiaan dan kehidupan yang lebih baik Pasukan Palang Merah Antarabangsa dibawah naungan Kerajaan Malaysia dan UNCHR diberi tanggungjawab membantu dan memantau aktiviti mereka.
Rumah-rumah panjang dan pejabat dibina daripada kayu yang terdapat di sekitar Pulau Bidong untuk keselesaan orang-orang pelarian, mereka disediakan makanan dan kemudahan asas yang lain termasuklah bekalan air, elektrik, sekolah dan bengkel kemahiran. Oleh kerana suasana kehidupan yang sesak dengan kawasan yang sempit suasana menjadi agak sibuk maka tempat ini digelar “mini Saigon”. Di sini dibina tokong, gereja, pejabat pos,kedai gunting, kedai jahit sehinggalah disco dan bar.Disini juga terdapat satu tempat yang dipanggil Pantai Cina sempena mengambil nama satu tempat di Vietnam. Disamping itu juga terdapat pondok polis, taman asuhan kanak-kanak serta hospital Palang Merah serta pejabat UNCHR.
Apabila pelarian terakhir meninggalkan Pulau ini pada tahun 1991 ianya mengalami proses pemulihan semula setelah alam semulajadinya diteroka secara agresif semasa pendudukan pelarian Vietnam dahulu. Apa yang tinggal hanyalah bagunan-bangunan lama serta bangkai bot yang ditinggalkan tanpa dipelihara menyimpan peristiwa ngeri yang berlaku lebih dua puluh tahun yang lalu.
Bangunan lama yang ditinggalkan disini perlukan penyelenggaraan sekiranya ingin dijadikan tempat tarikan pelancong. Kebanyakan bangunan di sini menungggu masa untuk menyembah bumi. Begitu juga semak samun dan lalang menyumbang kepada pemandangan yang tidak sedap dipandang memenuhi tempat yang menyimpan seribu kenangan kepada pelarian Vietnam.
Pada hari ini apa yang tinggal ialah sebuah pondok usang yang berada di penghujung jeti serta bangunan yang dilitupi oleh pokok-pokok yang menjalar. Hanya kesunyian dan kesepian yang menyelubungi pulau yang indah ini. Terdapat beberapa papan tanda lama dalam bahasa Vietnam yang menjadi panduan untuk kami mengenali tempat-tempat yang pernah kami diami pada masa lalu. Bengkel Vokasional dan tempat latihan menjahit masih lagi ada kesan peninggalannya seperti peti TV, papan litar, meja kerja dan lain lain lagi. Tempat ini merupakan tempat kami dilatih sebelum diterima oleh negara lain.
Tempat asuhan kanak-kanak yang dikendalikan oleh UNCHR tidak jauh bezanya dengan taman asuhan lain yang dipenuhi dengan mural, lukisan berbentuk huruf dan juga perpustakaan. Biarpun telah usang ia memberikan nostalgia yang menyayat hati apabila melngenangkan kembali anak-anak kecil yang setengahnya tanpa ibubapa belajar dan bermain di sini.
Di belakang kawasan pantai ini pondok-pondok didirikan di setiap pelosok tempat yang rata tanpa menghiraukan nyamuk dan semak samun. Di setiap rumah panjang yang disediakan oleh pihak berkuasa pula terdapat seorang ketua tukang masak yang dilantik khusus.
Disebelah tokong terdapat pula Gereja , di kawasan Asia Tenggara, selain Filipina, Vietnam satu-satunya negara yang ramai penganut Khatolik kerana ianya pernah dijajah oleh perancis. Tetapi tidak ada sebarang masalah antara penganut Khatolik dan penganut Budha di sini.
Tangga tinggi yang digunakan untuk pergi ke tokong di Pantai Tenggara diukir dengan ukiran pelbagai warna ditulis dengan nama-nama pelarian Vietnam, tarikh mereka sampai dan bilangan pekerja kebajikan yang bertugas. Diluar kawasan gereja terdapat satu binaan berbentuk haluan kapal dan disana terdapat pelbagai batu kecil yang dukir dengan pelbagai luahan perasaan dan cerita.
Pelayaran dari Vietnam ke Malaysia sepatutnya memakan masa kurang daripada seminggu. Oleh kerana bot mereka membawa penumpang yang berlebihan maka mereka selalu terlewat tiba. Bot bot mereka sering diserang oleh lanun yang menambahkan lagi penderitaan mereka, mereka seringkali dirompak, dirogol dan dibunuh.
Tidak jauh dari Pantai Cina terdapat satu air terjun yang menjadi satu tempat perkelahan terkenal dikalangan pelarian di sini. Ia juga menjadi sumber bekalan air sekiranya bekalan air terputus serta tempat berehat apabila turun dari bukit setelah mencari kayu atau kayu api.
Pada masa ini parut –parut hasil penerokaan dan penebangan pokok-pokok oleh orang-orang pelarian Vetnam untuk dijadikan tempat berteduh beransur-asur pulih. Bukit yang satu ketika dahulu hampir gondol kini kian menghijau. Apa yang tinggal hanyalah bangunan usang yang meungkin menunggu masa untuk rebah. Namun begitu pulau ini tetap indah dikelilingi oleh laut Cina Selatan serta menjadi tempat yang menarik untuk penyelam skuba.
Apabiola melawat ke Pulau Bidong kita disarankan agar pergi bersama pemandu Pelancong kerana di sini banyak terdapat “jerangkap samar “ iaitu perigi buta yang ditinggalkan oleh pelarian vietnam dahulu. Kedalaman perigi ini dianggarkan sedalam 20 meter yang digunakan sebagai bekalan sumber air untuk sebahagian pelarian Vietnam.
Pulau Bidong bukanlah satu tempat yang sangat terkenal untuk pelancong , namun begitu ia kerap juga dikunjungi oleh bekas-bekas pelarian dan pegawai yang menyatakan pulau ini berhantu , tetapi sejauh mana kebenarannya tidak dapat di pastikan. Walau apapun pulau ini tetap sunyi tidak sepertimana sewaktu ia dihuni oleh orang-orang pelarian dahulu.
Pelarian Vietnam, Orang Hanyut atau orang Vietnam kian dilupakan. Kita sapatutnya berasa bersyukur kerana dengan campurtangan beberapa pihak bencana kemanusiaan dapat dikurangkan dan banyak nyawa dapat diselamatkan. Pulau Bidong merupakan tempat di mana benih benih kedamaian dan kesentosaan bercambah biak untuk pelarian Vietnam yang sempat berteduh disini. Walaupun Pulau Bidong tidak lagi semeriah seperti satu ketika dulu ianya tetap menjadi satu sejarah bagi sebuah negara Malaysia yang merdeka. Sesuatu usaha wajar dilakukan untuk menyedarkan orang ramai dari seluruh dunia tentang fungsi kemanusiaan yang dimainkan di Pulau Bidong. Sesungguhnya Pulau Bidong adalah sebiji mutiara di Laut Cina Selatan yang perlu digilap kembali agar ianya kembali gemilang. Kita tunggu masanya !!!.

Tiada ulasan: