Sabtu, 29 November 2008

Kisah Bidong 18

Nasib Orang Hanyut
Oleh Don Hardy
Pulau Galang tesergam gagah di tenggah – tengah kepulauan Indonesia dan tidak begitu jauh ke selatan Singapura. Ia menyimpan pelbagai kenangan buat berpuluh-puluh ribu orang hanyut yang mana telah dijadikan kem pelarian oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.Mereka datang dengan bot-bot kecil untuk menyelamatkan diri setelah tamatnya perang Vietnam. Disini juga tersimpannya harapan orang-orang pelarian untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
Asap hitam bot berenjin diesel yang turut diiringi bunyi yang membingitkan memecah kesunyian alam semulajadi yang damai di sini. Akhirnya bot ini mendarat di sebuah jeti kayu di pulau yang kecil ini. Dilihat dari jauh , pulau yang menghijau dikelilingi lautan yang agak panas ini tidak ada apa-apa bezanya dengan pulau-pulau lain. Tetapi di sinilah satu ketika pernah menempatkan orang-orang pelarian vietnam yang dikenali juga dengan nama orang hanyut. Mereka hidup tanpa mengetahui dimana haluan mereka seterusnya. Mereka menanggung pelbagai risiko demi mengharapkan kehidupan yang lebih baik di negara asing berbanding negara sendiri yang ditinggalkan.
Pelarian yang selamat tiba di sini telah melalui pelbagai dugaan dan ujian yang sangat memeritkan. Mereka memperjudikan nasib dengan menyusuri lautan yang sangat merbahaya dan berjaya sampai kesini. Banyak juga yang gagal dalam perjudian ini. Lanun-lanun berkeliaran di laut untuk mencari keuntungan yang mudah yang biasanya berhasil. Ramai sekali pelarian Vietnam dirompak, dibunuh dan dirogol. Mereka meninggalkan pelarian Vietnam sehelai sepinggan terkapai-kapai ditengah lautan lautan setelah segala harta benda dirampas. Di sini terdapat satu perkuburan yang terdiri daripada tiga orang perempuan yang membunuh diri kerana menanggung penderitaan akibat dirogol ketika dalam pelayaran.
Tujuh orang pegawai kongres dan saya sendiri disambut oleh kakitangan kem dan pekerja PBB yang megendalikan kerja sukar menyediakan tempat tinggal pelarian, menjaga makan dan minum serta kesihatan orang-orang pelarian di sini. Kami akan memastikan status pelarian di sini dan menyaring mereka untuk dihantar ke negara ketiga.
Sesiapa yang tidak dapat membuktikan yang dirinya adalah orang-orang pelarian mengikut definisi PBB atau yang tidak mempunyai ahli keluarga di negara lain mempunyai masa depan yang suram. Beberapa orang dikalangan mereka kembali semula ke Vietnam manakala sebahagian lagi masih tinggal di sini mengharapkan dirinya “diselamatkan”. Sewaktu lawatan saya kebanyakan mereka tidak menepati syarat untuk ditempatkan di negara lain. Mereka juga menolak untuk pulang secara sukarela ke negara yang menyingkirkan mereka.
Sewaktu taklimat ringkas disampaikan oleh komandan kem kami dapati bahawa kem ini dibina ketika berakhirnya perang Vietnam dan mampu menampung suku daripada jumlah yang ada di sini. Ketika ini USA telah mengambil 82060 pelarian Vietnam, yang mencukupi syaratnya. Ketika lawatan pada tahun 1991 kanada telah mengambil 13516 orang diikuti Australia 6470 orang. Negara negara lain tidak begitu membuka pintu kepada pelarian Vietnam. Jepun menerima 113, Sepanyol, Italy, Argentina dan Ireland mengambil kurang daripada 20 orang setiap negara. Sedangkan orang-orang pelarian masih lagi berduyun-duyun datang dengan menaiki bot yang sarat dengan penumpang. Di kem pelarian pula tidak kurang 50 orang yang baru lahir setiap bulan.
Kesukaran dan kerisauan hidup di Galang semakin bertambah lagi apabila banyak negara memperketatkan peraturan tidak menerima lagi orang-orang pelarian.Ada sesetengahnya mereka menghalau semula ke laut apabila orang hanyut ini tiba di negara mereka.
Setelah diberi taklimat kami menaiki caravan dan empat jep yang didahului oleh trak yang mempunyai lampu merah berkelip-kelip di atasnya. Di sini terdapat dua kem dan satu tanah perkuburan di tepi bukit yang dipanggil kem ketiga. Hujan renyai-renyai mulai turun ketika kami berhenti untuk mewngambil gambar kedai kecil di tepi jalan. Selain daripada wang yang mereka bawa dan yang dikirim oleh kaum keluarga mereka tidak ada sumber lain. Peluang mencari wang disini amat tipis. Tetapi dengan adanya pelawat dan memenuhi keperluan mereka sebuah sedikit kedai makan dan kedai runcit dengan minima barang keperluan wujud di sini.
Terdapat tanda-tanda kesedihan dan putus asa pada kebanyakan wajah orang dewasa di sini tetapi tidak bagi kanak-kanak. Mereka nampaknya gembira dengan kedatangan orang luar sambil mengucapkan apa yang dipelajari di sekolah sementara di sini seperti “good morning sir” atau “ nice afternoon sir”. Apabila kita membalas sapaan mereka ,mereka akan ketawa riang.
Di satu sudut terdapat sebuah pondok terbuka tempat dimana orang-orang pelarian sedang memperjudikan nasib mereka. Pekerja Kem sedang mengiringi delegasi dari Washington menemuduga pelarian yang belum disaring bagi menentukan mereka akan ditempatkan semula di USA atau terus tinggal disini. Keputusan hari ini menentukan samada mereka diberi status sebagai penghijrah ekonomi atau orang pelarian. Temuduga yang mengambil masa selama satu jam itu cuma berjaya memilih 20 % daripada mereka manakala 80 % lagi gagal dan masih belum diketahui dimana arah tujunya.
Sambil kami berjalan dan bercakap-cakap dengan orang-orang pelarian melalui penterjemah yangakan nmengetahui nasib mereka sebentar lagi, saya nampak seorang kanak-kanak perempuan yang cantik memakai baju putih dan bersih berdiri tidak jauh daripada kami. Saya menghampirinya, pada mulanya dia cuba melarikan diri tetapi setelah dipujuk dia bersetuju bergambar dengan kami. Suaranya lembut dan perlahan. Dia tidak senyum.
Dia berumur tujuh tahun. Apabila ditanya dimana ibubapanya pada mulanya dia tidak menjawab. Selepas beberapa ketika dia berkata-kata. Melalui penterjemah saya mendapat tahu yang dia tidak tahu di manakah ibu dan bapanya. “ Lidah saya menjadi kelu, bila saya ingin bertanya lagi soalan kepadanya suara saya tidak keluar” . Saya begitu terkilan bila memikirkan nasib anak kecil yang tidak bersalah itu.
Menyusuri jalan yang berlumpur itu fikiran saya tidak lekang dari memikirkan nasib kanak-kanak itu dan penghuni kem ini yang terpaksa menerima nasib sebegini akibat pertelingkahan politik di negara mereka. Saya mengingat kembali dalam upacara memperingati mangsa kemalangan udara di Scotland beberapa tahun lalu. Satu ketika seorang lelaki telah menemui beberapa orang di lapangan terbang sebelum berlepas ke satu destinasi dan melambai-lambai tangan kearah mereka ketika menaiki pesawat. Beliau sendiri menaiki pesawat lain. Apabila mendapat berita bahawa pesawat rakan yang baru ditemui ditimpa kemalangan dia menghantar satu nota di tempat memperingati kematian akibat bencana itu dengan bertulis “ Kepada gadis kecil berbaju merah ……..awak tidak patut jadi begini”. Dan kepada gadis kecil berbaju putih yang baru saya temui , dia juga tidak patut jadi begitu tetapi tidak seorang ingin mengambil tahu tentangnya.
Caravan kami bergerak perlahan menuju ke penghujung kem dan melalui satu tempat dimana seorang anak muda mengheret seekor ular sepanjang lima belas kaki dari sebatang anak sungai sambil bersorak dengan bangganya. Lima belas minit kemudian kami kembali semula ke pengkalan dimana orang yang diberi peluang ke negara lain meninggalkan jejak terakhir di pulau ini. Saya berasa sungguh bersalah kerana cuma kami yang menikmati segala kebebasan menaiki bot meninggalkan pulau ini pada hari ini. Selepas bersalaman dengan kakitangan dan pegawai disini kami meninggalkan pulau ini dengan bot yang mengeluarkan asap hitam dan berkepul-kepul. Dari atas bot saya memandang ke arah pulau tetapi kem-kem pelarian berada di belakang bukit. Hanya yang ditinggalkan ialah harapan dan keperitan hidup orang-orang pelarian yang terlindung dari dunia luar. Apabila Pulau Galang hilang di ufuk sedikit demi sedikit rasa gusar saya turut hilang. Dalam fikiran saya kehidupan beribu-ribu pelarian Vietnam adalah berada di awan-awangan tidak dapat di ketahui samada Pulau Galang menjadi batu loncatan untuk kehidupan baru atau tempat terakhir sebelum mereka dihantar pulang. Apabila mendapat berita Kem Pulau Galang sudah ditutup banyak perkara bermain di fikiran saya. Sebahagian mendapat tempat di negara lain manakala sebahagian lagi dipaksa kembali ke tanah air yang mereka tinggalkan satu masa dulu.
Perkara yang paling kerap sekali bermain di fikiran saya ialah gadis kecil berambut hitam dan berbaju putih. Sebelum kami meninggalkan kem mereka saya sekali lagi melihatnya menyusuri jalan yang berlumpur. Seketika kami berpandangan tanpa sebarang kata, akhirnya dia tersenyum dan melambai tangan ke arah kami sebelum kami meninggalkannya.
Saya tidak dapat melupakan Pulau Galang, berbukit lembab yang wujud di muka bumi ini sedangkan saya kadangkala tidak pernah menghargai kebebasan diri yang saya nikmati. Sesungguhnya saya tidak dapat melupakan gadis kecil itu dan tidak mengetahui apakah nasibnya kerana saya tidak bernah bertanya siapa namanya.
Inilah satu hakikat hidup, ianya sangat menyusup ke dalam jiwa. Inilah kuasa fundamental yang yang menukar kehidupan buat selamanya. Dan Pulau Galang menyaksikan segalanya. Disini segala harapan dimusnahkan……… dan disinilah tempat menelan segala kepahitan.

Tiada ulasan: