Sabtu, 29 November 2008

Kisah Bidong 16

SESUNGUHNYA KEMATIAN ITU WUJUD
Oleh : Ngo Nhan Dung
Diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh :
Quynh Dao

Seorang wanita mengaturkan rancangan untuk melarikan diri dari Vietnam bersama tiga anaknya setelah melawat suaminya yang berada di Kem Tahanan. Secara berhati-hati suaminya mengatakan “Saya tidak ada peluang lagi untuk bebas, awak bawalah anak-anak keluar dari Vietnam”. Selepas itu wanita dan tiga orang anaknya tidak pernah mendarat di mana-mana pantai. Mereka hilang di antara Vietnam dan kepulauan Indonesia. Hari ini lelaki itu berada dalam kebingungan dan menanggung persoalan yang sangat berat. Apakah ini semua akibat perbuatannya?. Beliau sekarang berada di Amerika.
Dalam kes lain seorang isteri mengebumikan mayat suaminya yang dikembalikan dari kem tahanan. Lelaki tersebut cuba membunuh diri tetapi tidak berjaya. Pihak kem menghantarnya pulang kerana tiada harapan lagi untuk hidup. Anak-anak bekas tentera tidak dibenarkan memasuki universiti, tidak dibenarkan bekerja dengan kerajaan. Mereka tidak dibenarkan memilik perniagaan sendiri. Pasangan ini mempunyai dua anak lelaki dan empat anak perempuan.Anak lelakinya yang berusia 16 tahun menawarkan diri untuk keluar dulu dari Vietnam. Sebulan kemudian mereka mendapat khabar bahawa bot yang dinaiki mereka karam dan tidak ada siapa yang terselamat. Ahli keluarga yang lain sekarang menetap di Amerika. Tetapi mereka selalu menceritakan kisah ayah dan abang sulong mereka. Saya mengetahui dengan tepat cerita ini kerana mereka ada hubungkait dengan keluarga saya.
Saya juga mengenali seorang lelaki yang banyak mengatur orang-orang Vietnam melarikan diri. Beliau menjadi orang tengah untuk merasuah pegawai-pegawai komunis. Pelariannya seolah-olah pelarian rasmi dengan bot besar yang memuatkan semua ahli keluarganya lengkap dengan bekalan makanan dan senjata untuk mempertahankan diri. Tetapi bot itu karam di perairan Filipina apabila semua penumpang bergegas ke sebelah tepi bot, Dia menjadi tidak keruan dan berjalan ke sana sini. Saya selalu berjumpanya tetapi tidak berani untuk menyapanya dan bertanya tentang tragedi yang menimpanya. Beliau akhirnya meninggal dunia.
Setiap orang daripada kami yang masih hidup mempunyai cerita tersendiri berkenaan tragedi yang menimpa keluarga dan sahabat atau orang yang dikenali hilang di Laut Selatan atau hanyut di mana-mana pulau di Nusantara. Sebahagiannya kebuluran kerana kehabisan makanan dan air serta akhirnya bersemadi di dasar laut. Sebahagiannya disembelih oleh lanun di Teluk Siam. Di kem pelarian Bidong dan Galang terdapat beratus-ratus kubur orang Vietnam. Ada yang dikebumikan beramai-ramai dalam satu kubur.Mereka meninggal akibat bot mereka karam. Walaupun ada sesetengah bangkai bot ditarik ke darat tetapi beratus-ratus nyawa menghembus nafasnya yang terakhir dari sini. Tidak seorang yang cuba mencari pengenalan kepada mayat-mayat yang sekurang-kurangnya tercatat pada batu nesan mereka. Bagi yang dikebumikan di tempat-tempat ini mereka boleh dikira bernasib baik sekurang-kurangnya masih ada tempat bersemadi. Manakala yang lainnya bersemadi di laut yang luas tanpa diketahui di mana tempatnya.Mereka meninggal dalam keadaan putus asa , kesakitan , kelaparan dan penuh sengsara. Mereka meninggal tanpa penghormatan daripada orang lain. Dan lautan sudah pasti untuknya.
Memorial yang ada di Pulau Bidong dan Pulau Galang adalah salah satu daripada tempat untuk memperingati mereka yang telah pergi. Antara setengah juta hingga satu juta orang mengakhiri hidupnya di laut. Pemimpin pelbagai agama datang ke sini bersembahyang untuk roh si mati.

Tiada ulasan: