Ahad, 2 November 2008

Kisah Bidong - 1

Oleh Sister Maureen Lohrey

Sister Maureen Lohrey telah berkhidmat selama tiga tahun di Pulau Bidong bersama dua orang lagi Rahib Katollik iaitu Sister Carole Mc Donald dan Sister Joan Cambell untuk membantu orang-orang pelarian Vietnam. Sebelum berkhidmat di sini beliau merupakan guru besar di Melbourne Catholic School Australia. Mereka menggelarkan pasukan mereka sebagau The God Squad atau “Pasukan Tuhan”.
Sister Maureen selalu berada di sebuah pondok berhampiran pantai pada sebelah malam sambil menanti sekiranya ada bot orang orang pelarian Vietnam yang baru tiba. Kerapkali bot yang baru tiba dihalau pula ke laut agar mereka mencari perlindungan di tempat lain oleh pasukan pegawal atau pihak berkuasa Pulau Bidong pada masa itu. Sebagai langkah untuk mengelakkan daripada dihalau ke laut ada juga pelarian Vietnam ini akan membocorkan bot mereka dan mereka percaya orang-orang yang berada di Pulau Bidong akan menyelamatkan mereka. Terdapat juga pelarian yang muncul dan membawa peta yang koyak rabak dan bertanyakan arah dengan penghuni yang ada di Pulau Bidong.
Mengikut Sister Maureen apabila tiba di Pulau Bidong ramai orang pelarian ini tidak mampu berjalan akibat kekejangan kerana terlalu lama duduk atau berbaring di dalam bot. Mereka juga terlalu lemah , kelaparan dann kehausan serta sangat-sangat memerlukan air dan makanan. “ Saya berdiri di sini dan menangis apabila melihat kanak-kanak kecil dan bayi, dalam keadaan kehausan, kelaparan, comot dan sangat ketakutan , saya berasa sangat kasihan dan cuba membantu anak-anak kecil kerana proses untuk mendaftarkan mereka oleh pihak berkuasa mengambil masa yang terlalu lama sebelum diberikan makanan dan tempat tinggal”.
Kisah-kisah mengenai perpisahan yang memilukan, gadis-gadis diculik sewaktu di laut, orang-orang tua mereka ditinggalkan di negara asal mereka menjadi teka teki samada mereka dapat bertemu semula atau menjadi perpisahan buat selamanya menjadi bualan harian mereka di sini.
Untuk mengurangkan bebanan penderitaan yang ditanggung oleh kanak-kanak serta menghiburkan hati mereka ini Sister Maureen kerapkali mengadakan permainan sukaneka untuk kanak-kanak di disini. Pada satu ketika seorang gadis berusia 16 tahun pengsang apabila melihat darah kesan daripada terkena batu karang. Apabila dia sedar semula barulah diketahui gadis ini mengalami pengalaman yang sungguh menggerungkan. Dia merupakan salah seorang daripada dua orang yang tidak dibunuh oleh lanun sewaktu dalam pelayaran ke sini. Seorang lagi merupakan seorang lelaki tua. Dia menyaksikan bagaimana lanun tersebut mengerat jari untuk mengambil cincin dengan menggunakan parang panjang serta menetak orang-orang yang bersamanya di dalam bot. Dia berpura-pura mati dan mengapungkan diri di dalam air. Sister Mauren menjaga gadis ini dan membantu mempercepatkan proses mencari tempat perlindungan. Akhirnya gadis berkenaan dihantar ke Carlifornia.
Ketika Sisterr Maureen berada di Pulau Bidong istilah “orang-orang pelarian” didefinisikan semula berdasarkan situasi Negara Vietnam. Beliau menyatakan “ Pada 13 Mac 1989 ,satu pengumuman telah dibuat melalui pembesar suara , sebarang bot yang tiba mulai hari ini tidak lagi dikira sebagai orang-orang pelarian”. Orang-orang pelarian yang masih tinggal di sini semakin merasa tertekan untuk mendapat perlindungan di negara lain. Mereka cuma berserah kepada takdir. Satu peristiwa 20 orang pelarian Vietnam telah mengadakan mogok lapar, mereka memakai ikat kepala yang bertulis “Bebas atau Mati”. Pasukan keselamatan cuma memerhatikan mereka dari sebuah bot berhampiran pantai. Apabila loceng dibunyikan menandakan orang –orang pelarian perlu kembali ke kediaman masing-masing seorang kebanyakan penunjuk perasaan kembali ke kediaman masing-masing, tetapi seorang penunjuk perasaan telah melukakan perutnya sendiri. “Saya segera mendapatkannya untuk membantu tetapi saya telah ditolak dengan keras” cerita Sister Maureen. Mereka mengesat darah dengan menggunakan bendera Vietnam. Lelaki ini sempat diselamatkan.
Selepas proses temuduga oleh beberapa delegasi daripada beberapa buah negara untuk mendapat perlindungan kekal ,mereka terpaksa menunggu keputusan selama tiga bulan atau lebih. Sekiranya terpilih nama mereka akan diumumkan dengan pembesar suara. Apabila mendapat surat daripada pihak berkuasa di sini mereka kebanyakannya menjadi gentar seolah-olah akan menerima hukuman mati dan takut untuk membuka sampul surat berkenaan. Kerapkali juga mereka meminta Sister Maureen untuk membuka surat berkenaan.

Tiada ulasan: