Isnin, 17 November 2008

Kisah Bidong 11

Mohd Amdan pernah ditawarkan sekotak emas bagi melepaskan pendatang asing

SUDAH 34 tahun beliau berkecimpung dalam dunia Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kini menghabiskan banyak masa di pejabat menguruskan soal pentadbiran selaku Ketua Pengarah Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM). Kedudukannya tidak sedikit pun mengubah hidupnya. Tabiatnya tetap sama, Laksamana Datuk Mohd Amdan Kurish, 53, akan memastikan setiap bulan atau paling kurang setiap dua bulan, akan turun ke laut menghirup angin laut.

Dunianya boleh diibaratkan hidup di laut, cuma bukan sebagai nelayan. Bermula ketika usia mencecah 18 tahun, beliau sudah terbabit dalam dunia pelayaran sebagai pegawai kadet TLDM. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, 18 tahun daripada usianya dihabiskan belayar di laut.

Sudah tentu anak kelahiran Gombak, Selangor ini mempunyai 1001 macam pengalaman yang boleh dikongsi bersama sebagai pengajaran dan panduan generasi muda khususnya kakitangan di APMM.

Ringkasnya, hidup di dalam keluarga susah apatah lagi mempunyai 11 adik beradik membuatkan Mohd Amdan yang lulus cemerlang dalam Malaysian Certificate of Examination (MCE) sanggup menggadai masa depan dalam akademik dengan berhenti belajar dan mencari kerja.

Rezekinya cukup murah, enam jawatan dipohon, semuanya lulus temu duga dan ditawarkan jawatan. Menariknya, hanya tawaran TLDM menjadi pilihan hati berbanding tawaran sebagai juruterbang MAS, Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sime Darby, Maktab Perguruan “Kami orang susah, saya korbankan masa depan demi membantu keluarga sedangkan ketika itu saya menuntut di Tingkatan Enam Rendah. Saya pilih TLDM kerana ia adalah tawaran pertama, siap dengan waran kereta api ke Kem Sebatang Kara, Port Dickson.

“Apa salahnya jika mencuba ujian awal selama tiga hari. Saya lulus dan terus diterima berkhidmat. Jika gagal ujian itu pun, saya masih mempunyai lima pilihan tawaran lain...yang penting saya mesti mempunyai sumber pendapatan kewangan membantu keluarga,” katanya.

Ketika usianya mencecah 21 tahun, iaitu selepas tiga tahun berkhidmat beliau ditugaskan di KD Sundang selaku pegawai pelaksana. KD Sundang terbabit dalam operasi menahan ‘orang hanyut’ warga Vietnam yang melarikan diri daripada pergolakan di negara mereka.

Beliau bersama pasukan bertugas di Laut Cina Selatan selama dua setengah tahun dan boleh dikatakan cukup mahir dalam menangani isu itu hinggakan hidungnya cukup sensitif mengesan bau bot pelarian di laut. Ini membolehkannya mengagak secara tepat kedudukan bot mereka.
“Bangun pagi, saya akan terus ke atas kapal, hidu bau laut. Jika terhidu bau busuk atau mayat, saya tahu arah mana kedudukan kapal mereka dan terus menuju ke sana. Memang kami akan jumpa bot membawa ‘orang hanyut’.

“Bau mereka cukup busuk dan ada bot yang membawa mayat penumpang yang sudah mati berminggu lamanya. Bayangkan betapa busuknya bau di bot mereka. Sebab itu saya katakan, jika terhidu bau busuk di laut, saya tahu pasti ada bot tidak jauh dari kedudukan kami,” katanya.

Pernah satu ketika, sebaik saja menjejakkan kaki ke bot pendatang yang ditahan, seorang wanita menghulurkan bayi lelaki kepadanya. Masih berdarah dan tali pusat belum dipotong. Ibunya merayu supaya Mohd Amdan menjaga anaknya kerana dia tahu kapal mereka akan dihalau keluar perairan Malaysia.

Sekitar 1978, kerajaan mengarahkan semua kapal atau bot pendatang yang cuba memasuki Pulau Bidong, Terengganu dihalau keluar kerana jumlah penempatan di situ melebihi had dibenarkan.

“Saya pernah ditawarkan sekotak emas oleh seorang Datuk Bandar Saigon, Vietnam. Ketika memeriksa kapal mereka, penumpangnya adalah orang berperwatakan, berpelajaran dan golongan kaya. Wajah agak bersih, makanan dan minuman mencukupi berbanding bot lain yang pernah ditemui.

“Katanya, tuan, harta ini untuk tuan dan anak kapal, tetapi saya nekad bahawa mereka mesti diusir keluar dan kami tidak mahu harta itu. Saya mesti jujur pada diri sendiri dan anak kapal, ini satu pengajaran untuk kami bahawa kami dibayar gaji untuk menjalankan amanah negara,” katanya.

KD Sundang juga pernah dipukul ribut selama dua jam kira-kira 40 batu nautika dari Pulau Kapas, Terengganu mengakibatkan semua anak kapal muntah teruk dan mabuk laut tahap maksimum kecuali hanya tiga orang saja yang masih mampu berdiri iaitu Pegawai Pemerintah (CO), beliau dan jurumudi.

“Keadaan kami ibarat sekotak mancis yang dicampak ke laut. Ombak menghempas kapal bertalu-talu termasuk bahagian atas. Semua anak kapal diarahkan memakai jaket keselamatan dan berada di dalam kapal supaya tiada yang tergelincir. Semuanya muntah, seluruh kapal berbau muntah yang pelbagai warna.

“Ada yang meraung ketakutan, saya sendiri pun teringatkan keluarga. CO kami cukup tenang, beliau menjaga bahagian enjin, saya membantu jurumudi di atas. Saya sangka kami semua akan mati ditelan ribut,” katanya.

Tiada ulasan: