Isnin, 17 November 2008

Kisah Bidong 9

Kerajaan Negeri Terengganu akan mewartakan empat kawasan yang menjadi tumpuan penyu mendarat dan bertelur di Pulau Redang sebagai santuari penyu, kata Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya kawasan berkenaan ialah Pantai Chagar Hutang, Pantai Mak Kepit, Pantai Pasir Bujang dan Pantai Mak Simpan yang terletak di bahagian utara pulau peranginan itu.

"Empat kawasan itu merupakan kawasan utama persarangan dan pusat pendaratan penyu terbesar bagi spesies penyu Agar di Malaysia. Kita akan pastikan kawasan itu tidak akan dibangunkan dan kita harapkan generasi penyu akan bertambah dalam tempoh 10 hingga 15 tahun yang akan datang dan tidak pupus," katanya kepada pemberita selepas melawat Pulau Redang dan Pulau Bidong dekat sini Rabu.

Pemuliharaan penyu di kawasan berkenaan akan dijalankan dengan kerjasama Kolej Universiti Sains Dan Teknologi Malaysia (Kustem) dan Jabatan Perikanan, katanya.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri juga akan mewujudkan tabung warisan khas bagi memastikan kerja-kerja pemuliharaan dan penetasan telur penyu akan dapat dijalankan dengan lebih baik.

"Kita juga berharap kepada mana-mana pengusaha pusat peranginan di Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang mengetahui mengenai pendaratan penyu untuk memainkan peranan mereka membantu mengelakkan telur tersebut diambil atau dijual orang ramai," katanya.

Selain itu Idris berkata kerajaan negeri juga akan membaik pulih tempat yang pernah menjadi penempatan pelarian Vietnam dari 1975 hingga 1991 di Pulau Bidong untuk dijadikan sebagai tarikan pelancongan.

"Selain mempunyai nilai sejarah, ianya juga boleh menjadi tarikan kepada kira-kira 250,000 bekas pelarian dari Vietnam yang pernah ditempatkan di pulau tersebut yang mungkin ingin melihat semula tempat mereka pernah tinggal," katanya.

Bagi tujuan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mewujudkan tabung warisan bagi digunakan untuk membangunkan semula pulau itu dan menurutnya peruntukan awal adalah daripada kerajaan negeri.

Buat permulaan, beliau berkata pengawal keselamatan akan ditempatkan di pulau itu bagi memastikan kemudahan di kawasan itu tidak dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab
Source BERNAMA (Berita Nasional Malaysia)

Tiada ulasan: