Isnin, 27 Februari 2012

Mula Bersekolah

Menempuhi alam persekolahan merupakan pengalaman yang menggembirakan. Apa tidaknya dapat berjumpa dengan ramai kawan-kawan, dapat duit belanja dat dapat pakai uniform sekolah. Sejarah persekolahan bermula apabila ayah menunggu guru besar di tepi jalan dan memaklumkan untuk memasukkan aku ke sekolah. Pada masa itu aku berumur enam tahun dan hendak ditumpangkan di darjah 1. Terima kasih kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Wan pada masa itu yang memberi kebenaran untuk aku bersekolah.

Rabu, 8 Februari 2012

Perkara Aneh Sewaktu Kecil

Terdapat beberapa peristiwa aneh yang berlaku pada masa kecil dulu, tetapi kemungkinan keanehan itu berlaku disebabkan oleh tiadanya perhubungan komunikasi dan surat khabar seperti dahulu. Rama-rama menyerang Daerah Dungun/Kemaman Pada suatu masa di khabarkan berpuluh ribu rama-rama telah menyerang daerah Dungun dan Kemaman, sehingga apabila kita melalui kawasan yang diserangnya seolah-olah kita berada dibawah tompokan awan yang sangat tebal, peristiwa iniberlaku selama seminggu atau 2 minggu dan menjadi bualan orang-orang kampung dan juga guru-guru sekolah. Ada yang mengaitkan peristiwa ini dengan penemuan minyak di Terengganu dan ada juga mengaitkan bah besar. Allah jua maha mengetahui. Bunyi Tembakan Meriam Bertalu-talu Peristiwa ini berlaku pada tahun 1977 sewaktu aku berumur 7 tahun dalam darjah 1, masih segar dalam ingatan lebih kurang jam 8.00 atau 9.00 pagi , cuaca juga terang tiba-tiba bunyi tembakan meriam bertalu2 dari arah timur, seolah2 berlaku serangan tentera yang sangat dahsyat, cikgu2 di sekolah pun panik dan tidak mampu memberikan jawapan tentang bunyi berkenaan, begitu juga dengan ayah di rumah. Sehingga kini tembakan berkenaan masih menjadi misteri. Tapak Kaki Besar di Atas Jambatan Ayah memaklumkan bahawa terdapat 3 tapak kaki besar di Jambatan Tepoh, Jalan Utama Kota Bharu Kuala Terengganu. Orang-orang kampung pula mula menyampaikan pelbagai cerita berkaitan penemuan tapak kaki berkenaan. Ada yang menyatakan ianya tapak kaki manusia besar, gergasi, tok keramat dan sebagainya. Versi terakhir menyatakan ianya bekas tapak kren. Walau apa pun peristiwa ini sememangnya menjadi berita menggerunkan kanak-kanak pada masa itu.

Selasa, 28 Jun 2011

Menonton TV

Televisyen merupakan sesuatu yang sangat mewah pada zaman dahulu. Ingatan aku, aku pertama kali menonton TV semasa berusia lima tahun. Pada masa itu ibu membawa aku hampir 2 km berjalan kaki untuk melihat pertandingan tinju antara Mohd Ali dengan Joe Bugner . Penduduk dan masyarakat ketika itu lebih suka sebut Mat Ali lawan Jubagener. TV hitam putih. Bekalan elektrik masih belum ada. Untuk menghidupkan Television pada masa itu mesti menggunakan generator. Jadi terpaksalah mendengar bunyi generator juga. Selepas itu terdapat beberapa tempat yang menjadi tempat tumpuan untuk menonton TV Umah Pak Usop Bukit Wan, Kedai Ustaz Ngah, Kedai Pak Embong Bikit Jambu Golok dan akhir sekali rumah Mak Ngah , Mak sedara aku. Masa tu tuan rumah baik-baik, sesiapa aja boleh masuk dlm rumah dan menonton televisyen. Di depan tangga disiapkan tempayang untuk air basuh kaki. Kadangkala tuan rumah siap sediakan teh o dan biskut untuk penonton-penonton. Antara mlm famous untuk menonton TV ialah malam sabtu kerana ada cerita melayu. Rasanya perkara sebegini sukar berlaku dlm masyarakat pada hari ini.

Isnin, 7 Mac 2011

Belajar Basikal

Ayah aku ada sebuah basikal , basikal standard pada masa itu. Bukan basikal tua yang tinggi , basikal biasa tetapi ada palang, juga di sebut basikal batang.Aku mula mempelajarinya ketika berusia enam tahun. Sewaktu menaikinya aku kenalah melengkokkan badan kerana terhalang oleh palang atau "batang" basikal tersebut.Oleh kerana aku terlalu kecil berbanding dengan basikal ayah aku ambik keputusan memegang handle dengan sebelah tangan kiri sahaja, manakala tangan kanan digunakan untuk memegang tempat duduk, lebih tepat lagi aku mengepit tempat duduk basikal tersebut di celah ketiak. Rasanya di kalangan rakan sebaya yang belajar dan naik basikal pada masa itu akulah satu-satunya kanak-kanak yang menunggang basikal dengan cara begitu yang nampak begitu unik dan kadang-kadang macam menyiksakan. Satu kali aku dan kakak diminta oleh ayah untuk membawa pulang basikal dari Kampung Gemuruh. Pada mulanya kakak yang menunggang basikal berkenaan manakala aku membonceng basikal ayah. Tetapi aku meminta agar aku yang membawa basikal berkenaan sehinggalah kakak mengalah. Jalan pada masa itu merupakan jalan tanah merah dan melalui beberapa buah bukit yang tinggi termasuklah "Bukit Cangkul Pingat". Apabila menuruni bukit yang paling hampir dengan kampung aku, (Bukit Haji Weil) aku gagal mengacip brek dengan sebelah tangan, basikal meluncur dengan sangat laju sehingga aku jatuh berguling-guling di atas jalan. Tangan aku meloloh dan meninggalkan parut sehingga ke hari ini.

Sabtu, 5 Mac 2011

Renungan

Berdiri biarlah kita menjadi tiang
berbaring biarlah kita menjadi jambatan
jika di lubuk kita adalah haruan
jika di udara kita adalah helang
kalau di langit kita menjadi bintang
kalu di bumi kita menjadi intan

Jumaat, 4 Mac 2011

Mandi - Manda

Keindahan di masa kecil yang sukar diulangi pada zaman dewasa ialah berkubang di dalam parit atau lubuk. Terdapat beberapa lubuk atau tempat yang popular , antaranya Bedah, Binjai, Gertak Kempas Pancur Kempas dan lain-lain. Masa yang sesuai untuk berkubang ialah pada masa tengahari selepas bermain-main atau ketika emak dan ayah bekerja di sawah. Semasa mandi manda macam-macam skil ditunjukkan seperti berenang hanyut labu, kuak lentang, terjun kepala dulu dan lain-lain lagi. Ada juga masanya kami bermain menyelam paling lama , ataupun main kejar-kejar dalam air. Dulu ada sekali semasa pulang dari sekolah aku dan sepupu berendam dulu dalam Pancur Kempas, berendam tanpa apa-apa pakaian.Tiba-tiba muncul lah seorang polis arah kami suruh naik dan balik. Entah dia pakai undang-undang mana pun dia pakai aku tak tahu. Kami kepanasan masa tu balik sekolah jalan kaki , apa lagi berendamlah kami. Tapi bila polis panggil apa lagi ketakutan yang amat sangat dan tidak terhingga lah kami. Masa tu air pancur pun jernih dan dalam sikit paras buku lali je. Lepas peristiwa tu kami cuti mandi seminggu lepas tu mandi lagi. Peristiwa yang paling menggerunkan ialah bila kami bertanding menunjukkan kemahiran terjun di dalam lubuk "Gertok Kempas" ketika musim bah yang airnya hampir separas jambatan dan dalam arus yang sangat deras. Apabila kami terjun kami dihanyutkan jauh ke bawah , ke dalam perdu mengkuang dan hampir lemas kerana tidak mampu berenang melawan arus. Nasib masih menyebelahi kami apabila akhirnya kami dihanyutkan ke tepi tebing.

Rabu, 2 Mac 2011

Permainan

Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang penuh dengan impian dan kegembiraan walaupun sesetengahnya tidak berpeluang menikmatinya disebabkan faktor kemiskinan dan kesusahan keluarga ataupun kanak-kanak itu sendiri ditimpa penyakit ketika masih kecil lagi. bagi aku bolehlahlah dianggap sama dengan kanak-kanak lain yang hidup dalam sebuah kampung kecil yang serba kekurangan. Tapi kenangan masa kecil tetap indah. Permainan masa kecil dulu bermula main masak-masak, main pondok-pondok, main keluarga mak ayah dan sebagainya dan juga main jual-jual, daun kayu dijadikan duit, tempurung dan pinggang mangkuk yang buruk dijadikan pinggan mangkuk dan periuk belanga. Tempat permainan juga biasanya di bawah rumah atau sekitarnya.Biasanya permainan begini akan bersambung keesokan harinya. Selain itu ada lagi permainan lain seperti "nussuk kain", "Tol Wak", Tol Duduk, Tol Nussuk, Main Zero Point (lompat getah), lompat tali,main getah (setik getah atas para), main pusing pitih tahan getah atau gambar dan lain-lain lagi.Ada lagi permainan yang agak menarik juga dimana budak-budak yang lebih besar membina lori, kereta atau buldozer daripada kayu, pelepah sagu dan juga daripada tin atau bekas plastik.Ada seorang sahabat yang lebih muda setahun daripada aku yang suka bermain rim basikal dimana dia menggunakan sebatang kayu untuk menolak rim berkenaan kemana sahaja dia pergi. Lama juga dia bersama rim dan kayunya , kalau tak silap lebih dari satu tahun.

Isnin, 28 Februari 2011

Makanan

Makanan yang ada sekarang berbanding tigav puluh tahun dulu memang amat jauhnya. Hot Dog, Burger, Nasi tomato,pizza jauh sekali. Apa yang popular pada masa itu kalau sarapan pagi ialah lempeng debok dan jemput-jemput, tidakpun pisang rebus atau ubi rebus cicak kelapa kukur terutamanya musim hujan, kadang-kadang ada juga dibuat nasi goreng dicampur ikan yang dihancurkan.tapi syukurlah kerana ada orang lain yang tidak makan apa-apa pun. Minuuman yang paling popular ialah teh o dan juga kopi o. Pada waktu tengahari pula biasanya nasi dan ikan singgang atau ikan gulai dengan rempah ratus paling minima,sayur lemak kampung atau sayur air kadang-kadang ikan goreng. Rempah ratus yang paling popular pula ialah rempah yang dalam kertas cap ikan, ayam, udang dan kambing. Inilah satu-satunya rempah yang masih ada hingga kuni. Untuk kicap cap budak terbang rasanya dah tidak wujud lagi. Untuk merasai gulai ayam dan daging memang jarang-jarang sekali ,kalau dapat makan ayam dan daging pun hanyalah pada waktu kenduri kendara atau majlis-majlis tertentu sahaja.Itulah salah satu faktor mengapa kalau dahulu kanak-kanak dan orang dewasa suka pergi kenduri kendara kerana akan mendapat makanan yang istimewa disamping menghubungkan silaturahhim. Pada masa kini kenduri kendara dilihat lebih kepada hubungan silaturrahim dan mengambil hati sahabat handai dan keluarga berbanding untuk menjamu selera kerana apa yang ada ditempat kenduri kendara telah tersedia atau mampu di sediakan di rumah.

Ahad, 27 Februari 2011

Bertanam Padi

Boleh dikatakan semua penduduk kampung aku pada masa dahulu bertanam padi. Ada yang mempunyai tanah sendiri dan ada yang menyewa dengan orang lain. Ayah aku ada tanah sendiri di Terap dan turut menyewa tanah orang yang disebut Sejik Buruk ( Masjid Buruk). Sebagai anak tani aku turut serta ayah dan emak berkubang ketika mengusahakan tanah berkenaan, biasanya dengan berseluar pendek tanpa baju. Aku biasa pulang ke rumah dengan tubuh dipenuhi selut dan selalu di istilahkan sebagai "nampak mata dua butir". Proses bertanam padi meliputi merengam benih, menabur benih, mencabut semai, mencedong, dan mengetam. Manakala proses mengusahakan tanah termasuklah menerangkan tapak semaian, menakung air, membuat batas, menenggala sawah dan sebagainya. Banyak istilah yang ada pada masa itu seperti mencabut semai, unting, ketaman, gemai, nduh, tenggala dan sebagainya. Dan aku masik berkeempatan melihat ayah menggala tanah menggunakan kerbau. Ada satu lagi istilah dalam proses menggembur tanah yang dipanggil "menjam". Dalam proses memjam ini satu kumpulan lembu terdiri daripada 10 hingga 20 ekor dihalau dalam satu petak sawah untuk beberapa ketika agar tapak kaki lembu itu akan melumatkan tanah. Yang pastinya lembu lembu itu kebingungan kerana tak tahu apa maksud sebenarnya perbuatan dan kehendak manusia menyuruh dan mengherdik mereka , kadang-kadang dipukul tanpa belas kasihan agar mereka berpusing-pusing dalam kumpulan pada sesuatu tempat.

Rabu, 23 Februari 2011

Telaga

Masa kecil dulu telaga merupakan satu-satunya sumber air untuk penduduk kampung aku.Terdapat beberapa buah telaga yang popular pada masa itu.Yang tersohor ialah telaga Mok Ngoh dan telaga Tok Long. Kebetulannya di tepi telaga itu terdapat pokok jambu arang yang semacam tidak lupa untuk berbuah pada musimnya. Dari telaga inilah kaum ibu dan gadis2 kampung aku pada masa itu mengangkut air telaga. Kaum bapa pula akan membimbit baldi apabila hendak mandi dan tidak lupa juga membawa satu baldi air ke rumah. Biasanya telaga juga menjadi tempat membasuh pakaian oleh kaum ibu atau kaum yang bakal menjadi ibu. Kerapkali juga mereka akan membasuh dua atau tiga orang serentak sambil "bermesyuarat" berkaitan hal ehwal keluarga dan masalah dunia. Ada juga ketika nya kaum lelaki menunggu atau memerhati dari jauh bimbang isteri mereka diusik oleh lelaki lain. Tidak kurang juga kaum isteri yang memerhatikan suami mereka kerana dikhuatiri ada gadis-gadis akan mengurat atau menggoda suami mereka. Maklumlah pada ketika ini mereka mandi beramai-ramai dalam keadaan open air.Kalau peraih ikan lalu pun mereka selamba saja pergi membeli ikan dalam keadaan berkembam dan kain masih basah !!!!

Selasa, 22 Februari 2011

Menziarahi Keluarga

Hampir setiap tahun ibu akan membawa aku dan adik beradik lain melawat keluarga "waris-warah" di Kampung Gemuruh yang jauhnya lebih kurang 6 km dari kampung aku. Kebiasaannya kami akan berjalan kaki melalui denai yang dikelilingi oleh hutan, kebun getah, sawah padi dan semak samun.Perjalanan begitu sukar, kadang kala aku berjalan kaki sendiri dan kadangkala didukung oleh ibu dan kakak-kakak yang lain. Pernah sekali kami ditimpa hujan ribut dan petir dalam perjalanan berkenaan menyebabkan kami ketakutan dan basah kuyup.Biasanya kami akan bermalam satu atau dua hari sebelum pulang. Jarang-jarang sekali kami akan pergi menaiki bas dari kampung aku ke Pekan Tepoh, Kemudian menaiki Bas Jerteh ke Kg. Gemuruh. Sehingga kini aku tidak memahami kenapa ibu sering membawa kami ke sana sedangkan mereka jarang benar melawat rumah kami. Kalau benarpun andaian aku kemungkinan ibu ingin melawat sedikit harta pusakanya yang masih ada di Kampung Gemuruh. Wallahu A'lam.masa

Isnin, 21 Februari 2011

Basikal Baru

Hadiah yang paling berharga yang diterima masa kecik dulu ialah sebuah basikal mainan. Ketika itu arwah ayah pulang dari bandar dan membawa basikal berkenaan . Kalau istilah pergi ke bandar kuala terengganu arwah ayah sering menggunakan istilah hilir atau disebut "ilir". Basikal tersebut berkerangka besi dan mempunyai satu tempat duduk manakala pada bahagian belakang pula mempunyai dua tayar dan ada tempat penumpang. Rasanya agak lama juga basikal berkenaan mampu bertahan, mungkin selama tiga tahun atau lebih. Dan peristiwa ini berlaku sewaktu aku berumur 3 tahun , kerana aku masih ingat ayah membeli basikal ini sewaktu adik lelaki aku baru dilahirkan iaitu pada tahun 1973.

Ahad, 20 Februari 2011

Zaman Kecil Dulu-Dulu

Mengimbau kembali zaman kecil-kecil dulu pasti mengembalikan nostalgia yang melucukan , menggembirakan menyayat hati yang telah menyimpan seribu rahsia dan kenangan. Ada yang kata apa dikenang kisah lalu. Kalau difikir-fikirkan semula tidak salah mengenang semula setidak-tidaknya buat tatapan anak-anak sendiri mungkin generasi kini dan akan datang yang sangat jauh bezanya. Cuma dimana titik mula masa kecil itu tidak pasti. Kerana kita tidak bisa mengingati bila titik mulanya kita ingat apa yang berlaku setelah kita di lahirkan. Bagi aku peristiwa paling awal yang dingati sejak di lahirkan ialah aku dikendong oleh ibu di satu mengharungi anak sungai ke satu tempat yang mempunyai pondok kecil di dalam kebun kelapa. Ayah sedang megupas buah kelapa manakala di sebelahnya terdapat asap hasil pembakaran sabut kelapa sehingga kini aku tidak pasti di mana tempat itu kerana umurku pada masa itu sekitar satu tahun ataupun kurang dari itu !!!

Jumaat, 5 Mac 2010

Rayuan

RM10,000 jika temui abang saya - Le Nhung

Bui Ti Le Nhung (tengah) bersama suaminya, Vinh Van Ninh (kanan) dan Michael Chong menunjukkan gambar Van Quy pada sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 4 Mac - Seorang wanita kelahiran Vietnam yang menjadi warga Australia menawarkan ganjaran wang tunai RM10,000 kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat mengenai abang kandungnya yang kini gagal dikesan dan dikatakan pernah berada di negara ini pada 1979.

Wanita tersebut, Bui Ti Le Nhung, 53, ingin mencari abangnya, Bui Van Quy @ Nguyen Anh Tuan yang dikatakan melarikan diri dari Vietnam menaiki sebuah bot pada 4 Januari 1979 setelah mengingkari arahan untuk menyertai tentera komunis di negara berkenaan ketika itu.

Bot yang membawa kira-kira 120 penumpang itu dipercayai menuju ke Cherating, Kuantan, Pahang. Ketika meninggalkan Vietnam, Van Quy berusia 24 tahun.

Menurut Le Nhung, walaupun dia kini hidup bahagia di Adelaide, Australia bersama suami dan tiga orang anaknya, kehilangan abangnya itu amat dirasai kerana dia merupakan satu-satunya ahli keluarga yang masih gagal dikesan untuk sekian lama.

Ibu bapa yang masih hidup dan berusia 81 dan 83 tahun serta tiga lagi adik beradiknya juga telah berhijrah ke Australia dan menetap di negara itu sejak awal tahun 1980-an.

Le Nhung bersama suaminya, Vinh Van Ninh, 58, sanggup datang ke Malaysia pada 5 Februari lalu untuk mencari abang kandungnya tetapi sehingga hari ini masih tidak berhasil.

"Walaupun tidak tahu hidup mati abang saya, kami masih tidak berputus asa dan akan cuba menjejakinya selagi boleh.

"Saya dengan rendah diri meminta rakyat Malaysia, bantulah kami, seandainya maklumat yang anda berikan boleh membawa kepada penyatuan keluarga kami, ada sedikit ganjaran untuk anda," kata pasangan itu yang akan berlepas pulang ke Australia pada 11 Mac ini.

Kegagalan untuk menjejaki Van Quy di beberapa buah negeri di Semenanjung mendorong pasangan itu mendapatkan bantuan Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA yang diketuai Datuk Michael Chong.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Van Quy (gambar) boleh menyalurkannya kepada Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di talian 03-21618044 atau telefon bimbit Le Nhung 014-6210911 atau 0061884496608 (Australia)

Rabu, 28 Januari 2009

Kisah Bidong 23

Trauma Akibat Perang Vietnam
Bayangkan diri anda berada didalam sebuah bot kecil yang terumbang ambing berada di Lautan Pasifik tanpa mengetahui arah dan tujuan. Tidak juga mengetahui nasib orang-orang disayangi yang ditinggalkan di daratan. Tidak juga mengetahui juga nasib diri untuk hari esoknya samada masih mampu bernafas atau tidak. Perut pula menyanyikan lagu keroncong untuk meminta walaupun secebis makanan kerana telah tiga hari tidak makan. Apa yang tinggal hanyalah air laut yang terhampar tanpa penghujungnya. Apa yang termampu hanyalah terbaring kaku tanpa sepatah kata di lantai bot dalam keadaan berhimpit-himpit. Apa yang bermain di fikiran ialah, Adakah kami akan selamat ?, Bilakah aku akan sampai di Kem Pelarian ?, Minta-minta ribut tidak akan datang ?? Apakah lanun akan menghalang perjalanan ??? Dan bermacam-macam halangan dan cabaran yang akan dihadapi oleh orang-orang pelarian Vietnam.
Hari ini saya ingin membawa anda meninjau kembali apa yang telah terjadi kepada Vietnam semejak tahun 1950an hinggalah tahun 1980an. Walaupun saya bukanlah seorang veteran perang Amerika atau Australia yang menceritakan semula kenangan beliau dan saya bukanlah sebuah TV yang yang mampu menceritakan pelbagai fakta kepada anda. Saya cuba memaparkan beberapa perkara yang mungkin anda belum pernah dengari sebelum ini. Saya cuba membawa anda supaya anda dapat merasai diri anda sebagai orang-orang pelarian Vietnam Selatan. Banyak cerita-cerita yang telah mula dilupakan sedangkan ianya telah mencoret satu sejarah hitam dalam buku sejara Vietnam dan sejarah dunia juga.
Perang Vietnam ialah satu konflik yang berlaku dari tahun 1950an hingga tahun 1975 memakan masa melebihi 25 tahun. Perang ini berlaku antara dua pihak iaitu Vietnan Utara, Vietcong, Rusia dan China menentang satu lagi pihak iaitu Vietnam Selatan, Amerika, Australia dan beberapa negara lagi. Vietnam Selatan menjadi medan pertempuran. Itulah sebabnya mengapa terlalu ramai orang-orang Vietnam menjadi pelarian. Persoalannya mengapakah mereka melarikan diri ?
Pada 30 April 1975 pasukan komunis Vietnam Utara telah telah berjaya menakluki Saigon dan memenangi peperangan ini. Hampir dua juta penduduk Vietnam Selatan terbunuh manakala jumlah tentera Amerika dan Australia yang menemui ajal ialah 58 ribu dan 504 orang. Jumlah bom yang digugurkan ialah tiga kali ganda daripada perang dunia ke dua. Inilah sebabnya mengapa orang-orang Vietnam mula melarikan diri. Mereka menjadi sangat takut. Tentera Komunis Vietnam Utara akan menangkap pegawai dan kakitangan kerajaan terdahulu serta bekas–bekas tentera lalu dipenjarakan atau ditahan di kem-kem pemulihan (Re education Camp). Orang-orang Vietnam percaya mereka melarikan diri untuk menyelamatkan masa depan keluarga mereka.
Bagaimanakah mereka melarikan diri ?. Proses untuk menyelamatkan diri mengambil masa yang lama , kadang-kadang sehingga dua tahun. Mereka terpaksa menjual segala harta benda untuk mendapatkan wang bagi membiayai perjalanan. Rata-rata bot mereka berukuran 3 meter hingga 10 meter yang dibuat daripada kayu. Bot yang mampu memuatkan 20 hingga 30 orang ini biasanya akan membawa lebih 100 orang. Mereka datang dalam kumpulan-kumpulan kecil 3 hingga lima orang kemudian bersembunyi bersama kumpulan lebih besar sementara menunggu malam untuk mengelakkan daripada ditangkap atau ditembak oleh pasukan Vietkong. Setelah berjaya menaiki bot maka bermulalah satu episod baru dalam hidup mereka. Banyak sekali pelayaran mereka ini mengalami pengalaman yang sangat menggerikan. Mereka berada dalam keadaan berasak-asak seperti ikan sardin. Hampir setiap orang akan mabuk laut dan kemudiannya muntah. Dimanakah mereka akan buang muntah mereka?. Dimanakah tandas mereka ?. Mereka juga tidak terlepas daripada ancaman lanun yang kerap kali menghampiri bot mereka serta menyelongkar dan merampas barangan beharga yang dibaw., kaum wanita dirogol, diculik, serta dijual ke rumah-rumah pelacuran. Setengahnya pula ditinggalkan di pulau-pulau yang tidak ada apa-apa sehinggalah mereka diselamatkan atau mati.
Sebahagian bot pelarian Vietnam ini pula dilanda ribut menyebabkan mereka karam. Sebahagian lagi kehabisan makanan atau hanyut tanpa arah hingga berbulan-bulan menyebabkan mereka mati kebuluran. Bagi yang bernasib baik mereka diselamatkan oleh kapal-kapal yang lalu lalang atau tiba di kem Pelarian dengan selamatnya. Satu juta orang-orang Vietnam menjadi pelarian, sebahagiannya bersemadi di dasar laut manakala yang lain bertebaran di seluruh dunia seperti Australia, Amerika Syarikat dan sebagainya.
Apakah pula nasib mereka yang masih tinggal di Vietnam ?,. Tentera yang dikeluarkan dari hospital akan dipenjarakan walaupun mereka sebenarnya masih lagi memerlukan rawatan. Jika tidak dipenjarakan mereka dihalau ke dalam hutan atau terpaksa menyembunyikan diri mengelakkan diri mereka ditangkap semula dan disiksa. Mereka tidak dibenarkan memasuki bandar. Mereka tidak dibenarkan memiliki pekerjaan. Anak-anak mereka juga dihalang daripada meneruskan pelajaran di sekolah-sekolah kerajaan. Inilah sebahagian keperitan yang ditanggung oleh orang-orang Vietnam.
Di negara lain sepertimana Australia, Amerika termasuklah juga di Vietnam sekarang pejuang dan tentera mereka diiktiraf sebagai pahlawan atau hero dan diberi sokongan serta ganjaran oleh kerajaan mereka. Tetapi nasib pejuang Vietnam Selatan yang mempertahankan masyarakat Vetnam pada masa itu daripada diganggu oleh tentera Vietkong tidak terbela malahan terpaksa merempat dan melarikan diri ke negara asing ataupun dipenjara di negara sendiri.
Adalah diharapkan setelah mendengar penerangan ini kalian memahami betapa traumanya yang dihadapi oleh pelarian Vietnam. Sesungguhnya konflik yang berlaku antara Vietnam Utara dan Vietnam Selatan telah menuntut berjuta nyawa, beribu-ribu biji bom dan sebuah negara yang gersang.

Oleh : Nguyen Viet Huong , Public Speaking Award, 30 April 2000, Free Vietnamese Community in Queensland Australia